Sabah Bentuk Pasukan Petugas Tetapkan Had Umur Berkahwin

Jannie Lasimbang dan Radoslaw Rzehak menunjukkan poster kempen kesedaran ketika bengkel itu.

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Satu pasukan petugas khas dibentuk untuk membincangkan pindaan perundangan dan mengawasi pelan tindakan yang dibentuk bagi menetapkan had umur minima perkahwinan untuk perempuan yang dibenarkan di negeri ini kepada 18 tahun.

Pembantu Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri, Jannie Lasimbang berkata, langkah tersebut diambil selepas kerajaan mengadakan bengkel selama tiga hari dengan pihak-pihak berkaitan termasuk wakil daripada Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu (UNICEF).

“Hasil daripada bengkel itu, kementerian akan menubuhkan pasukan petugas untuk membincangkan pindaan perundangan, mengawasi pembangunan dan pelaksanaan pelan tindakan serta meneruskan strategi-strategi berkaitan isu ini.

“Ini adalah isu membabitkan pelbagai pihak dan tanggungjawab antara menteri, kami akan terus berunding, memberikan komitmen dan sokongan yang diperlukan daripada semua pihak terlibat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Mufti Sabah, Datuk Bungsu @Aziz Jaafar mencadangkan supaya had umur perkahwinan di negeri ini diturunkan iaitu 16 tahu bagi perempuan dan 18 tahun untuk lelaki.

Penetapan had umur yang diguna pakai itu sejak dulu lagi mendapat tentangan pelbagai pihak terutama aktivis kanak-kanak kerana menganggap umur tersebut terlalu muda terutama bagi pasangan perempuan untuk berumah tangga.

Sementara itu, wakil Unicef dalam bengkel tersebut, Radoslaw Rzehak berkata, Unicef menyokong penuh langkah kerajaan negeri dalam menetapkan had umur 18 tahun bagi pasangan perempuan dan lelaki demi menjaga kebajikan serta kepentingan mereka.

“Kanak-kanak ini telah bersuara dan kita mesti mendengarnya, kita mesti menghentikan perkahwinan kanak-kanak serta merta. Perkahwinan kanak-kanak meragut masa depan mereka.

“Unicef komited untuk menyokong pelaksanaan pelan tindakaan kerajaan Sabah dan akan berterusan memberikan sokongan serta kepakaran teknikal kepada kementerian dan pihak berwajib,” katanya.

Dalam pada itu, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kota Kinabalu yang juga peserta bengkel, Nur Mashitah Matusin, 17, berkata, amat tidak adil bagi seorang remaja perempuan menanggung beban sebagai isteri dan ibu pada usia terlalu muda.

“Kanak-kanak dan remaja sepatutnya diberikan hak untuk melalui zaman menjadi dewasa, zaman sebelum segala kesibukan bermula, bukan sibuk memikirkan rumah tangga.

”Tidak wajar seorang remaja menggalas tanggungjawab seorang isteri dan seorang ibu dewasa yang sangat besar,” katanya.