Sabah Benarkan Solat Berjemaah Tidak Lebih Empat Orang

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Majlis Fatwa Negeri Sabah membenarkan solat berjemaah dan solat Jumaat di masjid dan surau terpilih bermula 22 Mei ini namun, solat sunat hari raya Aidilfitri masih perlu dilakukan di rumah masing-masing.

Kebenaran solat berjemaah hanya diberikan kepada ahli jawatankuasa (AJK) masjid dan surau dengan bilangan ahli jemaah tidak melebihi empat orang, kecuali bagi solat Jumaat dihadkan kepada 12 orang.

Mufti Kerajaan Negeri Sabah merangkap Pengerusi Majlis Fatwa Negeri Sabah, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar berkata, keputusan itu dibuat dalam muzakarah khas Majlis Fatwa Negeri Sabah bersama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (Jheains) pada 11 Mei lalu.

Beliau berkata, kebenaran solat berjemaah ini termasuk solat sunat Tarawih dan digalakkan dilaksana dengan lapan rakaat sahaja dan selebihnya dilaksana di rumah masing-masing.

“Kebenaran solat Jumaat ini juga diberikan kepada AJK masjid sahaja dan bilangan ahli jemaah tidak kurang tiga orang dan tidak lebih daripada 12 orang termasuk imam dan khatib.

“Namun, keputusan ini tidak melibatkan solat sunat Hari Raya Aidilfitri. Semua ahli kariah masjid dinasihatkan supaya mengadakan solat sunat hari raya di rumah atau kediaman masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan, di sini semalam.

Menurutnya, takbir hari raya di masjid dan surau juga dibenarkan namun, hanya pada malam hari raya sahaja dengan bilangan ahli jemaah seramai empat orang.

Dalam membendung penularan wabak Covid-19, ahli jemaah yang berusia lebih 70 tahun tidak dibenarkan untuk hadir berjemaah.

“Setiap jemaah yang hadir pula dikehendali melakukan pemeriksaan suhu badan, memakai pelitup muka dan menggunakan pensanitasi tangan serta merekodkan kehadiran dalam buku kehadiran.

“Mereka yang bergejala seperti demam, batuk dan sebagainya tidak dibenarkan hadir berjemaah,” ujarnya.

Bungsu berkata, semua jemaah juga perlu melakukan penjarakan sosial satu meter dan perlu mengelak bersalaman serta perlu memakai pelitup muka ketika menunaikan solat. Kesemua jemaah perlu mematuhi saranan dan garis panduan yang diberikan demi keselamatan diri masing-masing.

Katanya, jawatankuasa masjid juga dibenarkan menggunakan pembesar suara semasa bacaan teks khutbah dan takbir hari raya untuk manfaat umat Islam sekitar masjid dan surau.

Tambahnya, orang awam masih belum dibenarkan hadir ke masjid dan surau maka, semua orang awam dikehendaki mematuhi nasihat dan saranan yang dikeluarkan dari masa ke semasa.