Sabah Benarkan Pasar Tamu, Pasar Tani, Pasar Malam Beroperasi

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri membenarkan pasar tamu, pasar tani, pasar minggu dan pasar malam beroperasi berkuat kuasa serta-merta.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, kebenaran ini hanya diberikan di daerah-daerah yang mencatatkan kadar 60 peratus penduduk dewasa telah divaksin lengkap.

Namun, ia masih tertakluk kepada penilaian risiko dan kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Walau bagaimanapun, semua penjaja termasuk pengunjung hendaklah telah lengkap divaksin.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan kelonggaran terhadap kanak-kanak di bawah 12 tahun untuk makan atau dine-in di restoran, masuk ke premis perniagaan termasuk kompleks membeli belah dan perhotelan (termasuk fasiliti seperti kolam renang), aktiviti perkelahan dan perkhemahan dengan syarat ditemani oleh ibu bapa yang telah lengkap divaksin.

Sementara itu, remaja berumur 12 hingga 18 tahun yang sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin dibenarkan dine-in di restoran, masuk ke premis perniagaan termasuk kompleks membeli belah, perhotelan (termasuk fasiliti seperti kolam renang), aktiviti perkelahan dan perkhemahan.