Sabah Benarkan Operasi Feri & Bot Penumpang Dengan Kapasiti Penuh

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Perkhidmatan pengangkutan feri dan bot penumpang di Sabah kini dibenarkan beroperasi dengan kapasiti penuh seperti yang dinyatakan dalam lesen atau sijil pendaftaran berkuatkuasa serta-merta.

Datuk Seri Mohd Shafie Apdal

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal dalam satu kenyataan hari ini berkata, keputusan itu dibuat selaras dengan keputusan yang telah dibuat di peringkat Kerajaan Persekutuan pada 11 Jun lalu.

Dengan itu, semua feri dan bot penumpang dalam negeri dan ke Wilayah Persekutuan Labuan boleh beroperasi seperti sedia kala mengikut syarat lesen.

“Bagaimanapun, semua pengusaha feri dan bot penumpang yang terlibat dikehendaki untuk meneruskan pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak-pihak berkuasa yang berkenaan dan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) dalam usaha memerangi penularan penyakit Covid-19,” katanya.