Sabah Benar Beri Zakat Kepada Bukan Islam Ikut Keutamaan

Bungsu (kanan) bersama Pembantu Menteri Undang-Undang & Hal Ehwal Anak Negeri Datuk Uda Sulai (tengah) semasa Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Sabah, di Wisma Muis, di sini pada Khamis.

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Pengagihan zakat kepada golongan bukan Islam adalah harus dan tidak menjadi isu di Sabah kerana perkara berkenaan sudah lama diputuskan dalam Jawatankuasa Fatwa Negeri Sabah sejak lima tahun lalu.

Mufti Sabah, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar berkata, sekiranya ada kekeliruan dalam kalangan masyarakat mengenai agihan zakat kepada golongan bukan Islam, mereka perlu merujuk kembali kepada fatwa tersebut.

“Kita ada dua irsyad fatwa yang telah kita keluarkan lama sebelum negeri lain menyebut, lima tahun dulu lagi kita sudah keluarkan keharusan pengagihan zakat itu kepada golongan yang memerlukan.

“Dalam irsyad fatwa kita telah meluaskan takrifan mualaf kepada golongan bukan Islam, asnaf mualaf ini termasuk mereka yang bukan Islam.

“Sekiranya dia termasuk dalam asnaf dan fakir miskin, biarpun dia bukan Islam tetapi dia boleh menerimanya (zakat),” katanya ketika ditanya mengenai pendirian Sabah dalam isu agihan zakat kepada golongan bukan Islam hari ini.

Bagaimanapun katanya, ada beberapa syarat tertentu yang akan diambil kira termasuk keutamaan kepada orang Islam terlebih dahulu, barulah pengagihan zakat kepada golongan bukan Islam bergantung kepada keperluan khusus mereka.

Katanya, beberapa keadaan tertentu juga perlu diambil kira seperti pungutan atau kutipan zakat serta keutamaan diberi kepada masyarakat yang lebih memerlukan.

Menurutnya, Sabah lebih kehadapan sebenarnya berbanding negeri lain dalam mengeluarkan fatwa mengenai agihan zakat kepada golongan bukan Islam ini.

“Tetapi daripada segi aplikasi atau amalannya, agaihan itu dikendalikan oleh Pusat Zakat Sabah, jadi saya fikir ini bergantung kepada kes tertentu.

“Namun daripada segi fatwa memang sudah ada diputuskan,” ujarnya.

Isu agihan zakat kepada golongan bukan Islam dibangkitkan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 30 Oktober lalu.

Anwar mencadangkan institusi zakat melakukan pembaharuan dengan memperluaskan bantuan kepada golongan bukan Islam.

Selain Sabah, Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis juga sejak 2017 membenarkan agihan zakat kepada golongan bukan Islam yang terdiri daripada asnaf miskin.

Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin sebelum ini pernah menyatakan Perlis adalah satu daripada negeri yang meluluskan fatwa bagi membolehkan wang zakat diberi kepada golongan bukan Islam mengikut asnaf ‘muallafah qulubuhum’ iaitu golongan yang ingin diharmonikan sikap dan persepsi mereka terhadap Islam.