Sabah Belum Sedia Buka Sempadan Antarabangsa

KOTA KINABALU: Negara-negara Asean perlu mencapai persetujuan bersama bagi menyediakan protokol pelancongan dalam kalangan negara Asean sebelum membuka sempadan antarabangsa negara masing-masing.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumanah Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, protokol perjalanan bersama ini akan membolehkan aspek keselamtan dan kesihatan pelancong diberi keutamaan.

Di samping itu, di peringkat dunia, apabila sempadan antarabangsa semua negara dibuka, perlu ada satu protokol antarabangsa bagi memastikan peraturan ditetapkan negara tertentu tidak bersifat sehala sebaliknya, membabitkan peraturan bersama.

“Kita perlu kreatif dengan menyediakan pelbagai pilihan kerana situasi pendemik Covid-19 ini sukar dijangka. Maka, apabila ada pilihan, kita boleh gunakan pilihan yang ada mengikut keadaan tertentu,” katanya dalam sidang media di sini semalam.

Masidi berkata, pembukaan sempadan antarabangsa di Sabah perlu mengambil kira perkembangan jangkitan Covid-19 di negara lain yang dikhuatiri akan mendatangkan risiko lebih tinggi bagi jangkitan Covid-19 dalam kalangan rakyat tempatan.

Katanya, rakyat Sabah perlu bersabar. Walaupun situasi sekarang membuatkan sektor pelancongan parah namun, demi kesealamtan kesihatan rakyat pembukaan sempadan harus mengambil kira pelbagai aspek.

Menurutnya, lambat laun apabila negara lain membuka sempadan mereka, Sabah juga akan ikut sama.

Kuasa imigresen terletak di bawah bidang kuasa negeri Sabah maka, keputusan membuka sempadan antarabangsa boleh diputuskan oleh kerajaan negeri.