Sabah Bakal Terima Ganjaran

298

Oleh PEMBERITA BORNEOTODAY
SHAH ALAM : Pencapaian cemerlang pasukan Sabah menjuarai saingan Liga Perdana musim ini sekaligus berjaya menamatkan kemarau tanpa sebarang trofi kejuaraan selama 23 tahun, bakal mendapat pengiktirafan kerajaan negeri.

Skuad kendalian jurulatih Jelius Ating itu akan menerima ganjaran daripada kerajaan negeri yang akan diumumkan sendiri oleh ketua menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal, apabila Sabah menerima kunjungan Kelantan di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabtu ini.

“Ya sudah pasti kita akan memberikan sesuatu ganjaran kepada pasukan, namun ianya akan diumumkan sendiri oleh ketua menteri (Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal), Sabtu ini, iaitu pada perlawanan seterusnya bertemu Kelantan di Stadium Likas.

“Pada hari berkenaan juga, saya difahamkan trofi Liga Perdana akan diterbangkan ke Likas dan selepas itu kita akan tahu bentuk ganjaran yang akan diumumkan,” kata pemangku presiden persatuan bolasepak Sabah, SAFA, Datuk Peter Anthony ketika ditemui sejurus selepas perlawanan Sabah menewaskan UiTM FC, 2 – 1, di Shah Alam malam tadi.

Kemenangan ke atas UiTM itu mengesahkan Sabah muncul juara liga perdana 2019 dengan 40 mata secara keseluruhan yang tidak mampu lagi dipintas pasukan lain.

Peter berkata, kejuaraan yang dicapai pasukan Sabah itu adalah satu bonus kerana sasaran sebelum ini adalah untuk melayakkan diri ke saingan liga Super yang telahpun dicapai lebih awal Jumaat lalu selepas Sabah menewaskan Johor Darul Ta’azim II, 1 – 0, di Pasir Gudang.

Menurut Peter, kejayaan muncul juara liga perdana adalah kemenangan untuk seluruh rakyat Sabah yang selama ini merindukan kebangkitan semula skuad utama negeri dalam persada bola sepak tanah air.

“Kita memulakan saingan dengan keputusan yang tidak begitu baik namun berkat kerjasama semua pihak termasuklah pengurusan, pegawai, barisan jurulatih, para pemain dan juga penyokong telah merealisasikan impian ini.

“Saya juga sangat gembira kerana kita bukan saja mencapai matlamat utama pada musim ini iaitu layak ke Liga Super, musim depan, tetapi juga berjaya menjadi juara,” katanya.

Sementara itu, Peter berkata, beliau akan memastikan pasukan itu bersiap sedia sepenuhnya bagi menghadapi saingan Liga Super termasuklah dalam aspek perbelanjaan.

“Kami akan berusaha untuk mencari penaja dan mempersiapkan pasukan sebaik mungkin kerana kita sedar saingan Liga Super sangat mencabar.

“Bagaimanapun kita akan fokus dulu untuk habiskan dua baki perlawanan Liga Perdana seterusnya saingan Piala Malaysia akan datang di mana kita mensasarkan sekurang-kurangnya layak ke separuh akhir,” katanya lagi.

BERITA BERKAITAN: –

Sabah Juara Liga Perdana