Sabah Akan Terus Pacu Sektor Pelancongan Budaya, Termasuk Lepa-Lepa

SEMPORNA: Kerajaan negeri Sabah akan terus memacu kepesatan sektor pelancongan budaya dengan menjadikan perayaan budaya etnik kaum antara agenda dalam kalendar pelancongan neger, kata Ketua Menteri, Musa Aman.

Beliau berkata setiap sambutan dan perayaan kebudayaan di setiap daerah mempunyai keunikan yang tersendiri termasuk Regatta Lepa yang berpaksikan budaya tradisi turun temurun suku kaum Bajau di daerah Semporna.

“Sebagaimana perayaan Pesta Kaamatan yang diangkat ikon pelancongan, sambutan Regatta Lepa juga turut dimasukkan dalam kalendar pelancongan sekali gus mengangkat acara itu sebagai pesta bertaraf negeri dan kebangsaan.

“Regatta Lepa ini menjadi satu program yang dinanti-nantikan oleh pelancong dalam dan luar negara, ini sekali gus memberi manfaat dan kesan positif kepada pembangunan ekonomi dan sosial masyarakat setempat,” katanya ketika berucap merasmikan sambutan Regatta Lepa kali ke-24, di sini hari Sabtu.

Teks ucapan Musa dibacakan oleh Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri, Masidi Manjun.

Sambutan Lepa yang dijalankan selama dua hari dan berakhir hari ini mendapat sambutan menggalakkan dari pelancong tempatan dan luar negara.

Dalam pada itu, Musa berkata kerajaan negeri menerusi Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah akan terus membantu menjayakan penganjuran pesta budaya seperti Regatta Lepa.

“Saya turut mengalu-alukan penglibatan, sokongan dan komitmen badan-badan bukan kerajaan (NGO) dalam mendukung dan memartabatkan seni budaya etnik kita,” katanya.

Beliau berkata dengan kerjasama dan kolaborasi semua pihak dapat memeriahkan serta menambah baik lagi sambutan Regata Lepa dengan idea dan kreativiti baharu.