Sabah Akan Mengambil Perhatian Isu Kerosakan PPR Taman Ria Kinarut

JAUJAN ketika mengadakan lawatan ke PPR Taman Ria Kinarut.

Oleh AZIS KHAN
PAPAR: Dua blok Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Ria Kinarut Papar yang mengalami kerosakan seperti retak akan diambil perhatian serius oleh Kerajaan Sabah.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Jaujan Sambakong berkata, isu tersebut akan dibawa ke mesyuarat Kabinet Negeri agar satu tindakan penyelesaian dapat diambil bagi membantu penduduknya.

“PPR ini dilaksanakan pada 2007 dan mula diduduki pada 2014 tetapi ianya gagal memberikan manfaat sepenuhnya kepada penduduk yang terjejas.

Antara masalah kerosakan yang dihadapi oleh penduduk PPR Taman Ria Kinarut.

“Apa yang saya lihat hari ini cukup menyedihkan, kita nampak banyak kerosakan, keretakan, aliran air yang tidak teratur,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke PPR Taman Ria Kinarut Papar, di sini pada Khamis.

Beliau berkata, dua blok berkenaan tidak selamat diduduki, dan bersimpati kepada rakyat yang sepatutnya dapat menduduki rumah dengan baik serta selesa, sebaliknya keadaan struktur dalaman rumah, parit banyak yang retak.

Jaujan yang juga merupakan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan berkata, perkara berkenaan tidak boleh dibiarkan. Kos pembinaan PPR berkenaan adalah besar tetapi malangnya ianya tidak dapat memberikan manfaat sepenuhnya kepada penduduknya.

“Tidak dinafikan PPR kawasan lain juga turut berhadapan masalah yang sama menyebabkan suasana kurang kondusif untuk diduduki.

“Ini menjadi satu pengajaran kepada pihak kerajaan dan pemaju perumahan agar di masa depan jangan hanya fikir ingin membuat rumah tetapi apabila berlaku keadaan seumpamanya, akhirnya tidak dapat dinikmati penduduk dan wujudnya keadaan mahu pembaikan, seterusnya sudah pasti  menyebabkan kos lebih besar diperlukan,” katanya.

Jaujan menegaskan pemantauan akan dilakukan diperingkat perlaksanaan pembinaan PPR agar perkara seumpamanya tidak berulang.

Katanya, tindakan untuk membaiki kawasan yang rosak memerlukan masa serta melibatkan banyak faktor.

“Kita perlu melihat secara keseluruhan, kalau kita mahu pindahkan penduduknya, kita perlu lihat keluarga terbabit seperti jarak pekerjaan, persekolahan anak dan banyak lagi faktor.

“Oleh itu, perkara ini akan dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet untuk mencari jalan penyelesaian,” katanya.