Sabah Akan Laksana PKP Pentadbiran di Tawau, Lahad Datu – Shafie

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah akan melaksana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara pentadbiran di kawasan yang dikenal pasti di Tawau dan Lahad Datu tidak lama lagi bagi mengawal penularan jangkitan Covid-19.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, PKP pentadbiran itu perlu bagi mengawal orang yang keluar dan masuk di kawasan tersebut.

“Ini bagi memastikan kita dapat menguruskan kawasan tertentu, bukan keseluruhan kawasan.

“Pusat Arahan (Covid-19) sudah putuskan dan saya rasa mereka sudah maklumkannya dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah pun sudah maklum mengenai perkara ini.

“Ini hanya melibatkan kawasan Tawau dan kawasan tertentu di Lahad Datu, bukan semua kawasan,” katanya ketika diminta mengulas mengenai PKP secara pentadbiran di Sabah.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Ceramah Perdana di DUN Kapayan, hari ini.

Menurutnya, itu adalah keputusan kerajaan negeri tapi perbincangan telah dilakukan bersama dengan MKN Sabah dan semua pihak berkaitan seperti Jabatan Kesihatan Negeri Sabah dan polis.

PKP secara pentadbiran itu akan dilaksana berikutan peningkatan kes Covid-19 dalam Kluster Benteng LD yang kini mencecah 550 kes.

Setakat hari ini, kes Covid-19 yang masih aktif di Sabah adalah sebanyak 590 kes.

Apabila PKP Pentadbiran dilaksana, tiada pelawat akan dibenarkan melawat kawasan tersebut sepanjang tempoh kuarantin 14 hari.