Sabah Akan Laksana Dasar Keusahawanan Nasional 2030

57
Madius bersama Padis merasmikan Kaamatan UPKO DUN Matunggong yang dihadiri lebih 800 orang itu.

Oleh BORNEOTODAY
MATUNGGONG: Kerajaan Sabah akan meneladani Dasar Keusahawanan Nasional (DKN) 2030 yang baru dilancarkan tiga hari lalu di Kuala Lumpur.

“Saya telah menghubungi beberapa pihak di KL, dan mereka sangat setuju untuk membantu kita kenal pasti cara terbaik melaksanakan DKN di Sabah,” kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau.

“Kita sangat serius menjadikan industri sebagai salah satu tonggak kekukuhan ekonomi Sabah. Justeru, antara lain usaha, kita adakan ‘One District One Industry’.

Madius menerima cenderakenangan daripada Padis Majingkin, Ketua UPKO Bahagian Kota Marudu.

“Saya menggesa setiap kita mendalami dan menerapkan budaya keusahawanan. Saya yakin DKN itu boleh menjadi panduan Sabah untuk terus progresif,” tambah beliau yang juga merupakan Menteri Perdagangan dan Perindustrian Sabah.

Madius, Presiden UPKO, telah hadir pada Khamis lalu dalam majlis pelancaran DKN 2030 dengan tema Negara Keusahawanan Unggul 2030 yang disempurnakan oleh YAB Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Saya teruja dengan pelbagai perkara yang dimuktamadkan dalam DKN itu. Pada saat itu juga saya hubungi Akademi Sains Malaysia dan memohon mereka membantu Sabah,” kata beliau.

Madius berkata, DKN akan mewujudkan ekosistem keusahawanan yang holistik dan kondusif bagi menyokong agenda pembangunan ekonomi negara yang inklusif, seimbang dan mapan, sekali gus membentuk masyarakat Malaysia yang berpemikiran dan berbudaya keusahawanan.

DKN juga akan meningkatkan bilangan usahawan yang berkualiti, berdaya maju, berdaya tahan; berfikiran global dan kompetitif, selain mempertingkatkan keupayaan usahawan tempatan dan industri kecil dan sederhana (PKS), serta menjadikan keusahawanan sebagai kerjaya pilihan.

Madius dipakaikan ‘sigal’ sejurus tiba di Matunggong pagi tadi.

“Saya akan mengadakan perbincangan susulan dengan rakan-rakan dalam Kabinet. Semoga usaha kita ini beroleh sokongan padu daripada semua dan beroleh berkat,” kata beliau ketika ditanya mengulas ucapan perasmian Kaamatan UPKO DUN Matunggong 2019 di sini pagi ini.

Dalam ucapan alu-aluan, Ketua Bahagian UPKO Kota Marudu, Padis Majingkim berkata memang masih wajar mereka mengadakan pesta itu kerana padi masih dalam musim menuai di sini.

“Kita mensyukuri segala tuaian kita sejak setahun lalu. Kita juga sangat gembira kerana pmimpin Nombor Dua Sabah, Presiden kami sudi hadir bersama kami. Kotobian kepada semua,” tambah beliau.