RUU Tambah 13 Kerusi DUN Sabah Dibentang Minggu Depan?

860
Gambar Internet.

KOTA KINABALU: Satu rang undang-undang (RUU) sedia ada untuk menambah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah daripada 60 kepada 70 kerusi dijangka dibentang di Parlimen bulan ini.

Menurut sumber, penambahan 13 kerusi baharu itu yang ditangguhkan oleh Barisan Nasional (BN) telah mendapat lampu hijau daripada kerajaan untuk dibentangkan.

“Rang undang-undang itu dijangka dibentang minggu depan dalam sesi Dewan Rakyat kali ini,” kata sumber itu seperti dilaporkan akhbar The Star.

Difahamkan, langkah tersebut diambil selepas kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal meminta Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad membentangkan RUU bagi kesemua 13 kerusi berkenaan.

Pada Ogos 2016, DUN Sabah telah meluluskan pindaan Perlembagaan negeri bagi memberi ruang 13 kerusi baharu itu diwujudkan dan telah digazetkan selepas mendapat persetujuan Yang Dipertua Sabah pada penghujung tahun itu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kemudiannya menghantar cadangan penubuhan kesemua kerusi itu pada 2017 kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk dibentangkan di Dewan Rakyat tetapi tidak dilaksanakan menyebabkan timbul kontroversi dan tindakan undang-undang menjelang pilihan raya umum 2018.

Gambar Internet.

Difahamkan, Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun telah menghantar semula cadangan berkenaan kepada Dr. Mahathir tahun lalu kerana perlu dibentangkan dalam tempoh dua tahun selepas pindaan digazetkan.

Sumber itu berkata, RUU itu cuma memerlukan sokongan majoriti mudah dan jika berjaya, SPR boleh memulakan proses mewujudkan 13 kerusi berkenaan.

Sementara itu, lapor The Star, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong ketika ditanya tentang RUU berkenaan mengelak daripada memberikan sebarang komen.

Sebelum ini, pada 23 April 2018, Mahkamah Tinggi menolak permohonan bekas Ketua Menteri, Yong Yeck Lee bersama enam individu lain untuk memaksa Perdana Menteri ketika itu membentangkan RUU tersebut di Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, prosiding mahkamah ketika itu tidak mempunyai locus standi untuk mengeluarkan perintah selain isu berkenaan bersifat akademik memandangkan Parlimen terlebih dahulu dibubarkan pada 7 April 2018 bagi membolehkan pilihan raya umum diadakan pada 9 Mei 2018.

Hakim pada masa itu bagaimanapun bersetuju bahawa Perdana Menteri tidak mempunyai kata putus untuk tidak membentangkan cadangan SPR bagi 13 kerusi tersebut kerana pembentangan tersebut adalah mandatori di bawah Seksyen 9 dalam Jadual 13 Perlembagaan.

Pada mulanya, kerajaan BN Sabah pimpinan Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman mendesak untuk diwujudkan kerusi baharu itu, tetapi akhirnya meminta Kerajaan Persekutuan menangguhkannya selepas kemunculan Parti Warisan Sabah (Warisan) pimpinan Mohd. Shafie yang dikhuatiri mendapat manfaat daripada kesemua kerusi berkenaan jika direalisasikan.