Rutin Raikan Hari Gawai Di Kampung Terpaksa Dilupakan Tahun Ini

Maria bersama keluarga yang tidak dapat pulang menyambut Hari Gawai tahun ini.

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Sunyi, itu adalah suasana yang boleh menggambarkan keadaan sambutan Hari Gawai di kampung.

Demikian kata Maria Isek yang tidak berpeluang menyambut Hari Gawai di Miri, Sarawak pada tahun ini.

Katanya, suasana kampung yang sunyi itu dapat dilihat melalui gambar yang dikongsikan ketika orang kampung mengadakan acara ritual ‘miring’ semalam.

Ini merupakan acara sebelum Hari Gawai bermula bagi memberkati dan melindungi penduduk kampung sebelum aktiviti penting atau selepas malapetaka atau kejadian tidak diingini berlaku.

“Sedih bila tengok gambar yang dikongsikan semalam, tiada orang yang menyertai acara tradisi berkenaan. Biasanya pada malam Hari Gawai, suasana di kampung begitu meriah. Namun, suasana kali ini begitu berbeza disebabkan berlaku penularan wabak Covid-19,” katanya ketika dihubungi Borneo Today, di sini hari ini.

Maria, yang bertugas di Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) berkata, hampir setiap tahun beliau bersama keluarga berkumpul di kampung sempena Hari Gawai untuk meraikan sambutan acara tradisi masyarakat dayak tersebut.

Disebabkan tahun ini tidak dapat pulang ke kampung, beliau hanya berhubung dengan keluarga melalui panggilan video.

Katanya, beliau amat merindui suasana pada malam sebelum Hari Gawai kerana kebanyakan acara tradisi dilakukan pada hari tersebut.

“Biasanya ketua kampung akan bunyikan senapang pada detik 12 malam dan penduduk rumah panjang akan berkumpul beramai-ramai untuk menjamu juadah sebagai tanda kesyukuran kerana beroleh hasil setelah selesai menuai padi.

“Pada malam tersebut, kami juga bertukar-tukar juadah makanan dengan jiran tetangga. Mengikut adat tradisi, semasa menikmati juadah makanan, tuai (ketua) rumah panjang juga akan ngadong ai pengayu (hidang tuak).

“Selesai makan juadah yang disediakan baru kami akan tidur. Tapi, biasanya aktiviti hiburan dan minum tuak akan diteruskan,” ujarnya.

Pada Hari Gawai barulah acara rumah terbuka dan menziarahi (ngabang) dari rumah ke rumah akan diadakan sehingga habis semua jiran di rumah panjang dikunjungi.

Pada hari pertama ini juga acara tarian ngajat Iban dan juga nyanyian akan diadakan bagi memeriahkan suasana sambutan Gawai.

Turut berkongsi kesedihan tidak pulang ke kampung adalah, Keritana Anak Santok yang bertugas di Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Sabah.

Katanya, rutin pulang ke Sri Aman, Sarawak yang dilakukan setiap tahun untuk meraikan Hari Gawai terpaksa dilupakan pada tahun ini.

Ini kali pertama beliau dan adik-beradik yang lain tidak dapat pulang meraikan Hari Gawai bersama ibu bapa mereka di kampung disebabkan oleh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Beliau berkata, dia paling rindu acara tradisi yang diadakan pada tengah malam 31 Mei dimana, mereka sekeluarga akan berkumpul beramai-ramai.

“Biasanya pada malam ini, ada acara ‘ngirup ai pengayu’ iaitu acara meminum tuak sebagai tanda gembira selepas menuai hasil tanaman padi.

“Malam itu kami juga bergotong-royong dan mengadakan acara sukan dan hiburan untuk memeriahkan sambutan Hari Gawai. Malam 31 Mei juga turut diadakan acara mendirikan ‘ranyai’ iaitu pohon yang didirikan di tengah-tengah ruai atau ruang khas yang dibina dalam rumah panjang.

“Pada keesokan harinya pula (1 Jun), kami akan menziarah ke rumah suadara-mara,” ujarnya.