Runtuhan Jalan Bukit Trig Dalam Pembaikan

Oleh TERTIA JACOB
SANDAKAN: Kerja pembaikan jalan raya yang runtuh di Bukit Trig, di sini sedang dilaksanakan Jabatan Kerja Raya (JKR).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Elopura, Calvin Chong Ket Kiun, berkata kerja pembaikan itu dijangka siap dalam tempoh dua bulan.

Katanya, runtuhan sudah berlaku sejak beberapa lama, namun kerja pembaikan hanya dapat dimulakan selepas kelulusan peruntukan bagi membaiki jalan.

“Selepas berlaku runtuhan, jalan raya menjadi sempit dan dibimbangi mampu mendedahkan bahaya kepada pengguna laluan ini.

“Kita sedar kerosakan sudah lama berlaku, namun kerja pembaikan hanya boleh dimulakan memandangkan peruntukan baru saja diterima,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas membuat tinjauan ke lokasi itu, hari ini.

Ket Kiun turut meminta orang ramai terutama penduduk di kawasan itu agar berhati-hati ketika melalui kawasan pembinaan, sekali gus mengelak kejadian tidak diingini berlaku.

Beliau berharap penduduk bersabar sehingga kerja pembaikan jalan selesai dibuat.