Runtuhan Cerun, Kilometer 19.2, Jalan Ranau – Kiulu Ditutup

TUARAN : Jabatan Kerja Raya (JKR) bertindak menutup kilometer 19.2 Jalan Ranau-Kiulu di sini selepas berlaku runtuhan tebing di kawasan berkenaan akibat hujan lebat petang semalam.

“Lokasi tebing yang runtuh adalah di Jalan Pukak-Pahu-Nulu di Kilometer 19.2. Ia ditutup 12 tengah malam tadi selepas JKR menerima aduan berhubung kejadian berkenaan,” menurut kenyataan JKR Sabah hari ini.

Pengarah JKR Sabah Datuk Ir. Ali Ahmad Hamid berkata penutupan jalanraya berkenaan membabitkan laluan yang menghubungkan Kampung Lokos dan Kampung Pahu, Kiulu.

“Syarikat penyenggaraan jalan yang bertanggungjawab sudah diarahkan untuk ke lokasi malam semalam bagi menjalankan pemantauan serta memasang papan tanda amaran.

“Laluan juga sudah ditutup untuk semua jenis kenderaan berikutan runtuhan tanah masih berlaku dan dikhuatiri jalan tersebut akan terputus pada bila-bila masa sahaja disebabkan hujan yang masih berterusan,” katanya.

Kon keselamatan dan papan tanda amaran bahaya dengan pantulan cahaya turut dipasang sebagai persediaan kerja-kerja penyelenggaraan.

“Pengguna diminta mematuhi arahan dan papan tanda yang disediakan bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini,” katanya.

Menurutnya pengguna jalan raya yang menggunakan Jalan Kiulu- Rondogung menghala Ranau disarankan mengikut laluan alternatif di Jalan Tamparuli-Ranau bagi mengelak kejadian yang tidak diingini berlaku.

“Pengguna jalan juga diingatkan agar sentiasa berhati-hati dalam pemanduan dan peka dengan keadaan sekeliling jalan,” katanya.

Sementara itu, Bernama melaporkan Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata sejurus menerima aduan kejadian itu, beliau telah  menghubungi Jurutera Daerah JKR Tuaran untuk menutup jalan berkenaan.

“Walaupun saya berada di luar negara pada ketika ini namun saya sentiasa memantau perkembangan di kawasan parlimen saya. Puan Jurutera Daerah juga memaklumkan kepada saya bahawa pihak konsesi yang bertanggungjawab untuk membaiki kerosakan jalan raya tersebut,” tambahnya dalam kenyataan berasingan.