Runding Dulu Dengan Warisan Sebelum Masuk

10285
ANWAR IBRAHIM. – Gambar FB

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dinasihatkan untuk berunding dengan Parti Warisan Sabah (Warisan) terlebih dahulu dalam membuat keputusan membuka cawangan di Sabah.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, rundingan itu penting untuk mewujudkan persefahaman memandangkan kedua-dua pihak mempunyai hubungan yang baik.

“Oleh kerana hubungan kita dengan parti Warisan baik, jadi perlu kita runding dan ada kesefahaman.

“Ini cara parti kita. Walau Bersatu sudah buat kenyataan tetapi baiknya jika dirundingkan terus supaya jangan ada ketegangan dalam parti,” katanya kepada pemberita seperti dilaporkan Sinar Harian hari ini.

Terdahulu hari ini, Ketua Menteri merangkap Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, Warisan tidak mampu menghalang keputusan Bersatu kerana mereka mempunyai hak untuk berbuat demikian.

Beliau bagaimanapun menegaskan Warisan mempunyai pendirian tentang perkara itu (Bersatu tidak perlu ke Sabah) dan fokusnya ketika ini adalah terus mentadbir negeri dengan baik selepas mendapat mandat daripada rakyat.

Jawapan Mohd. Shafie itu amat ditunggu-tunggu selepas tiga hari lalu, Pengerusi Bersatu, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengesahkan Bersatu akan masuk ke Sabah menyebabkan timbul pelbagai spekulasi tentang senario politik negeri.

Dr. Mahathir menyatakan demikian walaupun Bersatu dan Warisan telah memeterai persefahaman menjelang pilihan raya umum lalu agar parti itu tidak masuk ke Sabah.

Langkah Bersatu itu mengundang persepsi negatif lebih-lebih lagi selepas bekas-bekas pemimpin UMNO dijangka memasuki Bersatu yang dikhuatiri mampu menggugat keseimbangan politik Sabah.

Komponen Pakatan Harapan (PH) Sabah, iaitu DAP juga sudah menjelaskan rasa tidak puas hati dengan tindakan berkenaan yang digambarkan umpama perbuatan tikam belakang.

BERITA BERKAITAN: –

BERSATU Masuk Sabah, Shafie Ingatkan Penyokong Warisan Tidak Emosional