Rumah Terbuka Tadau Kaamatan Dan Gawai Mula Diadakan Tahun Depan

456
Wan Azizah: Mulai tahun hadapan, Majlis Rumah Terbuka Malaysia sempena Tadau Kaamatan dan Pesta Gawai akan diadakan bersama-sama dengan empat lagi perayaan.

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Setelah hampir 55 tahun pembentukan Malaysia, akhirnya Kerajaan Persekutuan mengiktiraf sambutan Pesta Kaamatan dan Pesta Gawai dengan mengadakan Majlis Rumah Terbuka Malaysia (MRTM) bagi kedua-dua perayaan yang dahulunya hanya disambut di peringkat negeri itu.

Bermula tahun hadapan, Majlis Rumah Terbuka Malaysia (MRTM) sempena Tadau Kaamatan dan Pesta Gawai akan diadakan bersama-sama dengan empat lagi perayaan iaitu MRTM Tahun Baharu Cina, Hari Raya Aidilfitri, Deepavali dan Krismas.

Perkara itu diumumkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail semasa Majlis Perasmian Majlis Rumah Terbuka Krismas 2018, di sini pada malam Sabtu.

Dalam pada itu, Wan Azizah juga menyarankan rakyat di negara ini supaya menghindari segala bentuk tindakan yang boleh menjejaskan perpaduan rakyat dan kestabilan negara demi memastikan pembangunan negara dapat direalisasikan.

Untuk itu, segala anasir-anasir jahat yang suka menghasut, melemparkan tohmahan dan fitnah untuk kepentingan diri perlu ditolak. Ia bagi memastikan agenda pembangunan negara dapat direalisasikan serta semua harapan rakyat dapat dipenuhi.

Menteri Pembangunan Wanita,Keluarga dan Masyarakat ini berkata, semua rakyat tanpa mengambil kira bangsa, agama dan budaya perlu sama-sama mengekalkan kemakmuran dan keamanan negara demi memelihara perpaduan yang dikecapi masa kini.

“Kerajaan juga tidak pernah meminggirkan mana-mana kaum dan agama dalam melaksanakan program-program pembangunan demi kesejahteraan rakyat.

“Setiap tahun, kerajaan menyalurkan peruntukan yang besar untuk badan-badan keagamaan termasuk sekolah-sekolah. Ia membuktikan kesungguhan dan komitmen kerajaan dalam membela nasib semua kaum tanpa mengira agama,” katanya ketika merasmikan Majlis Rumah Terbuka Malaysia Krismas 2018, di sini pada Sabtu.

Katanya, setiap perkara yang dilakukan kerajaan semuanya demi kepentingan rakyat. Tidak kira dalam apa juga bidang, kerajaan sentiasa komited dalam memastikan keperluan dan harapan rakyat dipenuhi.”Kerajaan ini bukanlah kerajaan yang hanya bercakap sahaja tetapi kerajaan ini adalah kerajaan bersekali dengan tindakan dan susulan.

Antara persembahan tarian kebudayaan yang diadakan sempena Majlis Rumah Terbuka Malaysia Krismas 2018.

“Kerajaan akan terus berusaha untuk meningkatkan ekonomi negara melalui tadbir urus yang baik dan berintergriti. Kita juga akan memastikan semua agenda pembangunan negara dilaksana secara telus,” ujarnya.

Menurutnya, menjelang kedatangan tahun baharu 2019, rakyat di negeri ini perlu menyahut cabaran secara positif serta melihat cabaran itu sebagai peluang dan bukannya halangan untuk meningkatkan kecemerlangan dalam ekonomi dan pembangunan negara.

Turut hadir dalam majlis itu adalah Yang DiPertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin dan isteri Toh Puan Norlidah RM Jasni; Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi serta Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew.