Rumah Terbuka Aidilfitri Ketua Menteri Di Semporna Meriah

138

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
SEMPORNA: Majlis Rumah Terbuka Ketua Menteri yang julung kali diadakan di pekarangan kediaman Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal hari ini meriah dengan kehadiran lebih 8,000 pengunjung pelbagai bangsa.

Ini kali pertama Shafie memeraikan Aidil Fitri di kediaman dia pada hari pertama sejak beliau menjadi Ahli Parlimen Semporna sejak lebih 30 tahun.

Meskipun majlis dijadual bermula pukul 9 pagi, orang ramai nampaknya tidak sabar untuk menyambut 1 Syawal bersama beliau apabila kebanyakkannya mula hadir seawal pukul 8 pagi lagi.

Pelbagai hidangan disediakan bagi menjamu selera pengunjung daripada pelbagai lapisan masyarakat antaranya kambing bakar, ikan bakar serta bermacam-macam lauk pauk yang menyelerakan.

Turut tidak dilupakan adalah menu tradisi aidilftiri iaitu nasi himpit dan ketupat yang dihidang bersama lauk ayam serta daging rendang manakala pelbagai jenis kuih-muih serta minuman turut menjadi pilihan pengunjung.

Mohd. Shafie yang segak berbaju Melayu merah jambu dan isteri, Datin Seri Shuriyani Shuaib yang memakai baju kurung pic turut mengambil peluang tersebut beramah mesra dan bersalaman dengan sebanyak mungkin pengunjung yang hadir.

Antara pemimpin kerajaan yang kelihatan di majlis tersebut adalah Menteri Pembangunan Infrastruktur, Datuk Peter Anthony; Menteri Pertanian, Datuk Junz Wong serta Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Penduduk, Datuk Frankie Poon Ming.

Ketua Menteri yang ditemui di majlis itu berkata, kepelbagaian kaum yang hadir menunjukkan kekuatan perpaduan rakyat negeri ini yang perlu dikekalkan demi pembangunan Sabah dan negara.

“Saya gembira dengan adanya perayaan seumpama ini, semua yang berkunjung bukan sahaja orang Islam tetapi juga bukan Islam, kaum Tionghua hadir sampai tengah hari.

“Sambutan perayaan seperti ini harus dipelihara dengan baik dan berharap negara sentiasa berada dalam keadaan masyarakat bersatu padu agar agenda pembangunan dapat dicapai.

“Saya percaya salah satu resipi pembangunan negara adalah rakyat yang bersatu padu dan pemimpin yang membawa dasar baik untuk negara,” katanya.