Rumah Sewa Di Menggatal Stor Minuman Keras Seludup

KOTA KINABALU: Taktik menyembunyikan minuman keras tidak bercukai di sebuah rumah sewa di kawasan Menggatal berjaya dikesan pihak berkuasa.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi Pasukan Polis Marin (PPM) Kota Kinabalu, Asisten Superitendan Roslan Awang berkata, serbuan ke atas rumah sewa tersebut membawa kepada penemuan pelbagai jenis minuman keras yang dianggarkan bernilai RM99,960.

Serbuan itu dilakukan hasil pemantauan dan pemerhatian yang dilakukan terhadap sebuah rumah sewa yang mencurigakan di sebuah taman perumahan di Menggatal.

“Setelah intipan dijalankan selama beberapa jam, tiada sebarang individu kelihatan maka, pasukan serbuan bertindak membuka pintu rumah tersebut.

“Hasil pemeriksaan yang dijalankan menemukan beberapa minuman keras tidak bercukai di dalam rumah tersebut,” katanya.

Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967.

Tambahnya, PPM Wilayah 4 Sabah menyarankan komuniti maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang ke talian 24 jam atau menggunakan aplikasi whatsapp ke Pusat Komunikasi PPM di talian 013-9391197.