Rumah PPR Hanya Untuk Mereka Yang Layak

Gambar hiasan

KOTA KINABALU : Pasukan petugas khas telah dibentuk untuk mengambil tindakan ke atas individu yang didapati tidak layak menetap di Program Perumahan Rakyat (PPR) untuk dikeluarkan dari rumah berkenaan.

Meskipun tindakan tegas itu dilihat sebagai tidak popular, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata ia perlu dilakukan kerana ada orang lain yang lebih memerlukan tempat itu daripada mereka.

Beliau juga meminta semua wakil rakyat agar tidak mengeluarkan surat sokongan kepada pihak yang tidak layak menduduki rumah PPR.

“Jadi saya minta wakil rakyat kalau ada rakan yang minta sokongan supaya terus tinggal di PPR, tolong jangan bagi surat sokongan. Yang layak, layak, yang tidak, tidak,” tegasnya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Darell Leiking (Warisan-Moyog) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.

Darell dalam soalan tambahannya meminta pihak berkuasa membuat semakan terhadap rumah PPR Kibabaig yang didakwa telah disewakan dan ramai pemohon yang layak dan memerlukan telah ditolak permohonan untuk menetap di rumah berkenaan.

Masidi tidak menafikan perkara itu banyak berlaku di PPR di kawasan lain selain PPR Kibabaig.

“Betullah apa yang dinyatakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Moyog, PPR ini sepatutnya untuk keluarga dari B40 atau berpendapatan rendah.

“Sebenarnya ini bukan suatu perkara yang berlaku di PPR Kibabaig saja, tetapi ada juga berlaku di tempat lain. Kita telah membentuk pasukan petugas untuk membuat pemeriksaan kepada semua PPR bagi memastikan mereka yang layak saja yang duduk di situ,” katanya.