Rumah Panjang Suku Kaum Rungus Bernilai RM1.28 Juta Disiapkan Lebih Awal

Gambar untuk ilustrasi.
Gambar untuk ilustrasi. Salah sebuah rumah panjang moden suku kaum Rungus di Matunggong.

KOTA MARUDU – Pejabat Pembangunan Negeri Sabah (SDO) berjaya menyiapkan pembinaan sebuah lagi rumah panjang suku kaum Rungus di Daerah Kecil Matunggong bernilai RM1.28 juta pada bulan ini iaitu 32 hari lebih awal daripada jadual ditetapkan sejak pembinaannya dimulakan pada Feb lalu.

Pegawai Kemajuan Negeri Sabah, Datuk Ruji Ubi berkata projek rumah panjang 20 pintu yang telah siap berkenaan telah diserahkan oleh kontraktor kepada pihak SDO hari ini, sebelum diserahkan kepada Pejabat Daerah Kecil Matunggong bagi pihak penduduk kampung dalam satu majlis ringkas.

“Alhamdulillah, dengan kerjasama dan komitmen tinggi pihak kontraktor, projek rumah panjang 20 pintu suku kaum Rungus ini berjaya disiapkan lebih awal daripada jadualnya. Ternyata dengan pemantauan rapi daripada pejabat SDO dan Pejabat Daerah Kecil Matunggong, kontraktor mampu untuk menyiapkan projek tersebut.

“Saya sendiri sepanjang tempoh pembinaan sejak Februari 2016 telah empat kali melawat dan memantau projek tersebut,” katanya dalam kenyataan kepada Bernama di sini Jumaat.

Ruji berkata kejayaan menyiapkan projek berkenaan lebih awal daripada jadual merupakan hadiah kepada penduduk Matunggong, khususnya penduduk Kampung Barangkason menjelang Krismas.

Sementara itu, di Kota Belud, Ruji juga menyerahkan projek program baik pulih sekolah daif yang telah berjaya disiapkan, di SK Timbang, Kota Belud kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kota Belud, Jumaat.

“Sebanyak 51 buah sekolah daif di seluruh Sabah terlibat dengan program baik pulih. Alhamdulillah, hampir 90 peratus daripada 51 buah sekolah tersebut telah berjaya dibaik pulih. Insya-Allah, sebelum sesi persekolahan bermula pada awal Januari 2017, semua projek baik pulih tersebut akan selesai,” katanya.

Menurut Ruji, program baik pulih sekolah daif tersebut dilaksanakan hasil inisiatif Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang menghendaki sekolah-sekolah daif di Sabah dan Sarawak dibaik pulih segera untuk manfaat para pelajar khususnya di kawasan pedalaman.

Katanya di Sabah, program tersebut dijayakan dengan kerjasama Pejabat Pembangunan Persekutuan (ICU) Negeri Sabah, Jabatan Pendidikan Negeri, Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di bawah program Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS).