Rumah Abdul Rahman Kongkawang Di Labuk Terbakar

Oleh TERTIA JACOB
BELURAN: Rumah dipercayai milik calon Bebas bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Labuk, Abdul Rahman Kongkawang terbakar petang tadi.

ABDUL RAHMAN

Rumah Abdul Rahman yang terletak di Kampung Muanad 3, dekat sini terbakar kira-kira pukul 2.30 petang tadi, namun tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Beluran, Rastam Keladi, berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 2.35 petang dan menghantar enam anggota ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira sembilan kilometer dari balai.

Katanya, anggota bomba berdepan kesukaran untuk memadam kebakaran kerana struktur rumah daripada kayu selain sukar mendapatkan sumber air.

“Turut terbakar adalah sebuah kereta dipercayai milik pemilik rumah.

“Kebakaran dapat dikawal sejam selepas itu daripada merebak ke rumah lain,” katanya di sini hari ini.

Abdul Rahman adalah penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Labuk dan bertanding semula di kerusi itu sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Beliau berdepan saingan daripada calon daripada Perikatan Nasional (PN), Parti Cinta Sabah (PCS), Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) dan Parti Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO).