Rozman Nafi Laporan Astro Awani, Tidak Tepat

LABUAN: Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli menafikan laporan berita Astro Awani bertarikh 21 Jun bertajuk ‘Tiada Masalah Jadi Wakil Rakyat Bebas’ yang memetik kenyataan beliau.

Rozman berkata, laporan tersebut tidak tepat dan tidak menggambarkan perkara sebenar yang dikatakannya ketika ditemu bual wartawan berkaitan.

Menurut Rozman, beliau secara umum menjelaskan tiada masalah jika Labuan dipimpin oleh mana-mana wakil rakyat sekali pun termasuklah daripada Bebas kerana pembangunan pulau bebas cukai itu perlu tetap diteruskan.

“Saya juga ada menceritakan kepada wartawan itu bahawa saya membuat keputusan untuk meninggalkan UMNO sebelum ini dan menyertai Parti Warisan Sabah (Warisan) selepas PRU14 sebab saya sangat sayang dengan projek Jambatan Labuan-Menumbok yang sudah diluluskan dan sepatutnya dijadikan sebahagian daripada pakej Lebuh Raya Pan Borneo.

“Tetapi di bawah kerajaan yang lepas (Pakatan Harapan) sudah lain ceritanya, walaupun diteruskan tetapi ianya berbentuk Pembiayaan Inisiatif Swasta (PFI).

“Saya sekarang sudah masak dan sedar bahawa pembangunan Labuan tidak bergantung kepada parti mana Ahli Parlimen dia berada,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Katanya, pendirian politiknya untuk kekal bersama Parti Warisan Sabah (Warisan) juga telah dimaklumkan kepada wartawan terbabit, justeru tidak timbul isu beliau memberi bayangan mahu menjadi wakil rakyat Bebas.

Jelas beliau, pendiriannya kekal bersama Warisan kerana Kerajaan Sabah ditadbir oleh Warisan yang akan memudahkan perhubungan antara Sabah dan Labuan.

“Labuan boleh diwakili oleh mana-mana parti sama ada kerajaan, pembangkang atau bebas sekali pun, paling sesuai diwakili oleh Ahli Parlimen daripada parti yang menerajui negeri Sabah, sebab itulah saya memilih untuk bersama Warisan,” tegas beliau.

Rozman berkata, laporan tersebut amat dikesali kerana penulisnya seolah-olah cuba menimbulkan isu sensasi sedangkan sudah dimaklumkan bahawa beliau tidak akan meninggalkan Warisan.

“Bila wartawan tanya jika saya mahu tinggalkan Warisan, saya nyatakan dengan jelas saya tidak akan lompat, saya tiada rancangan seperti itu, sesetengah orang mungkin senang buat tetapi saya ada semangat setiakawan, saya masih bersama Warisan.

“Saya mahu bersama Warisan untuk memperjuangkan hak-hak Sabah yang dinafikan Kerajaan Pusat,” katanya.