Roti RM 1 Dalam Kereta Kembalikan Memori Zaman Kanak-Kanak

Oleh SURAIDAH ROSLAN
PUTATAN: Memori zaman kanak-kanak kembali segar dalam ingatan setiap kali penduduk sekitar daerah ini terlihat kereta Ridzuan Jamal yang dipenuhi dengan pelbagai jenis roti bun.

Jika pada 90an roti yang dijual di dalam van sering dilihat berlegar-legar di kawasan perumahan kini, giliran kereta Ridzuan memainkan peranan sama.

Anak muda berusia 28 tahun ini memulakan perniagaan menjual roti bun sejak November tahun lepas.

Keunikan bun yang dijual adalah semuanya berharga RM1 setiap satu. Antara bun yang dijual termasuk bun tuna, tausa, bilis, sosej dan chicken floss.

Ridzuan berkata, beliau mengambil inspirasi menjual roti bun itu daripada bapa saudaranya.

“Perniagaan bun ini dimulakan oleh bapa saudara saya semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Papar pada tahun lalu.

“Cara penjualan kami tetap sama iaitu menjual roti dalam kenderaan dengan bergerak dari satu lokasi ke satu lokasi lain,” katanya.

Menurutnya, bagi menarik perhatian pembeli, beliau menggunakan rakaman suara wanita untuk memberitahu pelanggan mengenai ketibaannya di kawasan perumahan.

Rakaman suara ‘roti! roti! mari beli roti RM1!’ akan dimainkan setiap kali beliau memasuki kawasan perumahan. Penduduk di taman perumahan di sekitar Putatan ini memang sudah mengenalinya.

Beliau mampu menjual sehingga 3,000 bun setiap hari.

Sebelum ini, Ridzuan bekerja sebagai Penyelia Kanan Jurutera Mekanikal dan Elektrik di syarikat swasta. Namun, disebabkan keadaan semasa, beliau memutuskan untuk berhenti kerja dan memulakan perniagaan menjual roti ini.

Berkongsi mengenai idea menjual roti pada harga RM1 itu, beliau berkata, dalam keadaan pandemik Covid-19 ini, ramai orang berdepan dengan bebanan kewangan, beliau cuba menjual bun pada harga yang murah.

“Keadaan ekonomi yang tidak menentu berikutan penularan wabak Covid-19 ketika ini menyebabkan pelanggan terpaksa berjimat dalam setiap pembelian.

“Kita mahu berniaga untuk mencari sumber pendapatan namun, bukan untuk mencari keuntungan secara berlebihan,” ujarnya.

Menurutnya, biarpun masih baharu dalam bidang perniagaan tetapi Ridzuan bersyukur apabila inisiatif memperkenalkan roti RM1 berkenaan membuahkan hasil.

Jika pada awalnya, beliau mengusahakan perniagaan ini sendirian, kini beliau sudah mempunyai pasukan untuk menjual roti tersebut di beberapa lokasi berbeza.

Ridzuan berkata, akibat pandemik Covid-19, ada antara rakan-rakan yang berdepan dengan kesukaran kerana sumber pendapatan mereka terjejas disebabkan tidak semua sektor ekonomi dibenarkan beroperasi.