KOTA KINABALU: Majlis makan malam tahunan Kelab Penyokong Manchester United Malaysia (United Malaysia) kali keempat di Dewan Hakka kelmarin buat pertama kalinya dihadiri bekas pemain yang juga legenda kelab itu, Ronny Johnsen.
Kehadiran Ronny ternyata menceriakan semangat lebih 2,000 penyokong setia kelab itu yang hadir dengan berbekalkan semangat ‘glory glory’ dan ‘one united’.
Ronny yang pertama kali datang ke Sabah berkata, sokongan diterima kelab bola sepak tersohor itu amat luar biasa dan mengkagumkan.
Turut hadir di majlis itu ialah Presiden United Malaysia Batholomew Jinggulam.
Ronny yang beraksi di posisi pertahanan ketika bersama Manchester United merupakan antara tulang belakang kelab itu ketika memenangi kejuaraan treble iaitu Piala Eropah, Liga Inggeris dan Piala FA England pada musim 1998/1999.
Sementara itu, Batholomew berkata, sejak ditubuhkan kelab penyokong itu telah berjaya merealisasikan hasrat kira-kira 400 penyokong menjejakkan kaki ke Stadium Old Trafford untuk menyaksikan perlawanan membabitkan kelab kesayangan mereka itu.
Dalam majlis itu, sebanyak lapan pemenang bertuah turut berjaya memenangi tiket perlawanan dan penerbangan pergi balik ke United Kingdom (UK) untuk menonton perlawanan di The Theatre of Dream musim depan.
“Sudah pasti Manchester United akan menang dalam perlawanan pertama bertemu Chelsea di Old Trafford.
“Kita mengharapkan permulaan yang bagus dan musim yang berjaya untuk pasukan Manchester United,” katanya.