Rondaan Pihak Berkuasa Dapati Penduduk Tawau Patuh Perintah

Oleh TERTIA JACOB
TAWAU: Tiada aktiviti pelancongan dan riadah dikesan di perairan daerah ini, sebaliknya sebahagian besar penduduk dari Pulau Sebatik yang menggunakan perairan adalah untuk ke bandar Tawau bagi mendapatkan barangan keperluan harian.

Keadaan itu dilihat menerusi rondaan bersepadu dilaksanakan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sekitar perairan daerah ini untuk memantau pematuhan penduduk terhadap Perintah Kawalan Pergerakan.

Timbalan Pengarah Operasi Zon Maritim Tawau, Komander Maritim Mohd Yusri Hussin, berkata menerusi rondaan itu, penduduk dinasihatkan agar patuh terhadap arahan serta mengamalkan cara kebersihan yang disyorkan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Katanya, pihaknya juga mengingatkan mereka agar memakai penutup mulut dan hidung, mencuci tangan menggunakan sabun serta mengamalkan penjarakkan sosial.

“Ketika pemantauan, majoriti yang kita temui adalah penduduk setempat dari Pulau Sebatik yang ingin membeli keperluan harian di bandar Tawau.

“Pemantauan ini akan diteruskan untuk memberi kesedaran maksimum kepada komuniti maritim khususnya daerah Tawau yang telah mencatatkan jumlah kes positif Covid-19 tertinggi di negeri Sabah, termasuk satu kes kematian,” katanya di sini, hari ini.

Rondaan itu membabitkan empat aset bot ronda Maritim Malaysia dan Pasukan Polis Marin (PPM).

Mohd Yusri turut mengingatkan tindakan tegas akan diambil jika ada pihak yang ingkar terhadap perintah itu, sekali gus mengurangkan keberkesanan usaha kerajaan membendung penyebaran wabak Covid-19.

Orang ramai yang mempunyai maklumat atau kecemasan di laut boleh menghubungi talian Pusat Operasi Zon Maritim Tawau 089-752115 atau MERS 999.