Ronald Kiandee Pentingkan Diri, Bukan Demi Rakyat

1722
Ghazalie Ansing

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Tindakan Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Ronald Kiandee melompat parti jelas merupakan langkah yang mementingkan diri sendiri bukannya demi kepentingan rakyat.

Pengarah Komunikasi dan Strategik UMNO Sabah, Ghazalie Ansing berkata, seorang pejuang parti politik yang sebenar tidak akan membelakangkan parti ketika susah, sebaliknya langkah meninggalkan parti hanya dibuat oleh pemimpin yang memperjuangkan kepentingan peribadi.

“Ingatkah yang berhormat Beluran sewaktu berkempen mengenai kata-kata yang di keluarkan tentang Pakatan Harapan?

“Ternyata segala ceramah dan modal kempen yang berhormat pada ketika itu adalah ayat-ayat sampah semata-mata.

“Ingatkah yang berhormat Beluran bahawa segala kos dan perbelanjaan sepanjang yang berhormat beluran menjadi Ahli Parlimen adalah mengunakan duit parti?,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Ronald menegaskan bahawa tindakannya menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) adalah sama dengan sejarah politik Sabah ketika UMNO masuk ke negeri ini dan bukannya atas kepentingan peribadi.

Beliau berkata demikian seleas Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin menyifatkan pemimpin yang melompat parti sebagai tidak bermaruah dan tiada pegangan.

Ghazalie berkata, jika melihat kepada Pakatan Harapan yang kini menindas rakyat, tindakan beberapa bekas wakil rakyat UMNO menyertai Bersatu ternyata bukan demi kepentingan rakyat.

“Kini apabila UMNO Barisan Nasional (BN) kehilangan kuasa maka yang berhormat sendiri meninggalkan parti dan segala perjuangan yang dibawa bersama UMNO di sampah sarapkan,” katanya.

Tambahnya, perjuangan menuntut Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang dijadikan alasan juga tidak berasas kerana ‘yang berhormat Langkawi’ adalah punca perjanjian itu masih tidak dapat dilaksanakan sehingga kini.

Menurut Ghazalie lagi, Ronald perlu meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) kerana ketelusannya boleh dipersoalkan selepas beliau menjadi wakil rakyat kerajaan.