RON97 Naik Dua Sen, RON95 Dan Diesel Kekal

KUALA LUMPUR: Harga runcit petrol RON97 naik dua sen seliter manakala harga runcit RON95 dan diesel kekal, masing-masing pada RM2.05 dan RM2.15 seliter bagi tempoh 1 hingga 7 April.

Harga baharu untuk RON97 kini RM2.52 seliter, menurut Kementerian Kewangan dalam kenyataan hari ini.

Kementerian Kewangan memaklumkan harga baharu itu adalah berdasarkan penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan menggunakan formula Mekanisme Harga Automatik (APM).

“Bagi melindungi pengguna daripada kesan kenaikan harga sebenar minyak di pasaran global, kerajaan mengekalkan harga runcit petrol RON95 pada paras harga siling RM2.05 seliter dan diesel RM2.15 seliter, sungguhpun harga pasaran sebenar bagi kedua-dua produk telah meningkat melebihi paras harga siling yang telah ditetap,” menurut kenyataan itu.

Ia berkata kerajaan juga akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.