Rombak Polisi Kuarantin Kendiri Elak BID Terus Meningkat

KOTA KINABALU: Parti Warisan Sabah (Warisan) menggesa kerajaan meneliti dan merombak semula polisi kuarantin kendiri di rumah bagi mengelakkan lebih banyak kematian luar hospital atau BID dilaporkan.

Presiden Warisan, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, penelitian polisi ini perlu bagi memastikan rakyat yang positif Covid-19 mendapat jagaan sewajarnya.

Beliau berkata, peningkatan kematian BID pada masa ini membimbangkan maka, polisi sedia ada perlu diteliti secara menyeluruh agar langkah kesiapsiagaan negara menuju ke arah fasa endemik tidak terganggu.

“Jika dilihat pada 11 September, sebanyak 239,351 kes positif yang aktif telah direkodkan dimana 83.3 peratus daripadanya menjalani kuarantin kendiri di rumah.

“Pada tarikh yang sama, sebanyak 592 kematian dilaporkan, tertinggi sejak wabak bermula dan angka ini termasuk 88 kes BID.

“Data-data ini menunjukkan bahawa pengurusan wabak tidak dilaksanakan sepenuhnya oleh kerajaan dan rakyat dibebankan untuk membuat kuarantin dan penjagaan sendiri di rumah.

“Lebih membimbangkan dengan jumlah kematian dan BID yang tinggi dan berkemungkinan mereka ini tidak mempunyai akses kepada jagaan kesihatan yang sepatutnya disediakan oleh kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Pada masa sama, Ahli Parlimen Semporna ini mahu agar sistem kesihatan awam diperkasakan dengan lebih banyak bantuan dan dana diberi bagi membolehkan hospital berfungsi secara maksima.

Di samping itu juga, kerajaan perlu meningkatkan kapasiti sistem kesihatan negara untuk menerima lebih ramai pesakit supaya dapat dikuarantin di hospital, bukannya di rumah sebagaimana
situasi yang berlaku pada waktu ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senallang ini turut menggesa agar data dan maklumat Covid-19 diberikan secara jelas bagi mengelakkan kekeliruan berlaku.

Katanya, ketika ini maklumat tidak lagi disalurkan pada laman sesawang dan media sosial Kementerian Kesihatan Malaysia, sebaliknya telah dipindahkan ke laman sesawang CovidNow dan Github.

Laman Github pula memerlukan akses secara berdaftar sebelum boleh mendapatkan dan menggunakan maklumat yang ada. Tanpa maklumat tepat dan telus, boleh menimbulkan persepsi kerajaan cuba
mempolitikkan data wabak ini bagi menunjukkan keadaan adalah terkawal.\

Mengulas lanjut, Mohd Shafie mahu KKM mengambil perhatian peningkatan kadar kematian iaitu 592 kes pada 11 Sept, ia kes kematian tertinggi sejak wabak Covid-19 berlaku.

“Apa yang mengecewakan, KKM menjelaskan rekod tersebut tidak menggambarkan kes kematian sebenar memandangkan terdapat banyak kes kematian tertunggak (backlog) yang dilaporkan.

“KKM juga menyatakan bahawa daripada 592 kestersebut, hanya 100 kematian yang disahkan diakibatkan Covid-19 manakala, yang lain adalah kes dimana ada kaitan dengan Covid-19 iaitu pesakit tiada rekod positif Covid-19 semasa hari kematian.

Jelasnya, KKM menyatakan ini berikutan kekangan mereka untuk menjalankan bedah siasat bagi menentukan punca sebenar kematian bagi si mati yang tidak pernah disahkan positif.

Ia menjadi persoalan kepada rakyat kerana alasan sebegini hanya diumumkan ketika negara menghadapi kadar kematian harian tertinggi.

Maklumat seperti kes kematian tertunggak dan kekangan bedah siasat untuk pesakit Covid-19 yang meninggal dunia seharusnya dimaklumkan lebih awal. Ini perlu agar umum mengetahui bahawa data yang diberikan belum lagi menyeluruh kerana ia bergantung kepada faktor lain seperti keputusan post mortem dan pemakluman kes kematian pada hari kejadian.

Malah katanya, kerajaan perlu memberikan maklumat yang tepat, telus dan komprehensif
kepada rakyat berkaitan Covid-19 agar rakyat mendapat gambaran sebenar mengenai status semasa pandemik yang melanda negara.

Pada masa sama, ia juga adalah sebagai peringatan kepada rakyat agar berwaspada dalam mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Jelasnya, polisi kesihatan yang digubal juga perlu meletakkan kepentingan rakyat menjadi keutamaan, bukan hanya fokus untuk menunjukkan kerajaan dapat mengawal keadaan.