Rokok Seludup Dirampas Selepas 20 Minit Aksi Kejar-Mengejar

SANDAKAN: Selepas 20 minit aksi kejar-mengejar dilakukan bagi menahan tiga bot yang disyaki membawa barangan seludup, akhirnya suspek meninggalkan sampan yang ditunda di kawasan paya bakau berhampiran Pulau Sulok, Beluran kelmarin.

Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Zainudin Mohd Zuki berkata, pemeriksaan terhadap sampan yang ditinggalkan menemukan 48,600 batang rokok putih dengan anggaran nilai RM33,000 yang dipercayai diseludup dari negara jiran

Ketiga-tiga bot suspek menuju kawasan paya bakau cetek berjaya melarikan diri.

Beliau berkata, semasa anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Sandakan melakukan rondaan rutin Op Pluto Timur di perairan Semawang, mereka telah mengesan pergerakan tiga bot yang mencurigakan.

Hasil pemantauan mendapati salah sebuah bot tersebut sedang menunda sebuah
sampan dalam keadaan bergelap sekitar jam 1 pagi.

Walau bagaimanapun, apabila diarahkan berhenti untuk pemeriksaan, ketiga-tiga bot tersebut tidak memberikan kerjasama dan bertindak memecut laju bagi melarikan diri daripada ditahan.

Kesemua hasil rampasan dibawa masuk ke Jeti Zon Maritim Sandakan dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan selanjutnya.

Siasatan lanjut akan dilakukan bagi mengesan dalang serta pelaku disebalik kegiatan penyeludupan ini dan kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967.