Rodzi Saad: Jangan Pandang Rendah Ancaman Keganasan Di Sabah

Rodzi (kanan) beramah mesra dengan Timbalan Pengarah (Gerakan) Jabatan KDNKA PDRM Bukit Aman Datuk Zainal Abidin Kasim (tengah) semasa penutupan seminar berkenaan

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Kedudukan Sabah yang terletak bersempadan dengan Filipina dan Kalimantan Utara, Indonesia memerlukan pasukan keselamatan di negeri ini sentiasa berada dalam kesiapsiagaan yang tinggi.

Timbalan Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara Datuk Rodzi MD Saad berkata, Sabah boleh dijadikan laluan transit kegiatan keganasan. Oleh itu,ancaman keganasan di Sabah tidak harus dipandang ringan.

“Kedudukan Sabah yang sempadan Timurnya dengan Filipina yang mana,kita maklum mengenai bagaimana situasi ancaman keganasan di Selatan Filipina.

“Malah,kita bersempadan dengan Kalimantan Utara yang mana laluan pergerakan kumpulan tidak bertanggungjawab mungkin akan melalui Sabah. Atas sebab itu, kita tidak harus pandang ringan perkara ini kerana Sabah boleh menjadi laluan dan transit kegiatan keganasan,” katanya ketika ditanya tentang tahap ancaman keganasan yang dihadapi di Sabah.

Rodzi menyampaikan sijil penyertaan kepada salah seorang wakil agensi menyertai eksesais itu

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa Majlis Perasmian Penutup Seminar dan Tabletop Exercise (TTX) Eksesais Jerung Emas Siri 66/2018 di sini pada Khamis.

Rodzi berkata, program itu adalah kesinambungan program yang dilaksana tahun lepas yang bertujuan memastikan kesiapsiagaan ancaman keganasan di Sabah berada pada tahap terbaik.

“Tangkapan lapan individu di Putrajaya dan Sabah oleh PDRM pada awal bulan lalu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas di Selatan Filipina membuktikan bahawa perlu bagi kita sentiasa bersiap-siaga dan berada pada tahap terbaik dalam menghadapi kemungkinan ancaman dan insiden keselamatan yang tidak dijangka.

“Atas sebab itulah, eksesais sebegitu sangat penting untuk menguji kesiapsiagaan setiap agensi yang terlibat dalam menghadapi ancaman krisis dan keganasan melibatkan pelantar minyak dan instalasi di perairan Malaysia,” ujarnya.

Menerusi eksesais ini juga, ujian untuk peraturan tetap dan mekanisme sedia ada akan dilakukan agar penambahbaikan boleh dibuat berdasarkan ancaman semasa dan ancaman yang dijangka masa depan.

Disamping itu, eksesais ini juga dapat merapatkan dan meningkatkan persefahaman semua agensi supaya apabila berlaku krisis keganasan, ia lebih mudah ditangani kerana setiap pihak sudah memahami bidang tugas dan peranan masing-masing.

Dalam eksesais itu, sebanyak 33 agensi persekutuan dan negeri termasuk Jabatan Meteorologi, Jabatan Pelabuhan dan Dermaga, Jabatan Penerangan dan Jabatan Alam Sekitar.