RMK12, Tetapkan ‘Timeline’ Selesai Tuntutan MA63

KOTA KINABALU: Dalam menyambut baik pengumuman Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), kerajaan negeri meminta Kerajaan Persekutuan menetapkan garis masa atau timeline bagi menyelesaikan isu-isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, komitmen kerajaan untuk menyemak dan menyelesaikan isu-isu dalam dalam MA63 amat dialu-alukan namun, perlu ada satu garis masa untuk memastikan pelaksanaannya dapat meningkatkan pembangunan di Sabah dan Sarawak.

Katanya, beliau menyambut baik komitmen Kerajaan Persekutuan untuk memberi perhatian kepada negeri-negeri kurang membangun terutama Sabah dan Sarawak dalam RMK-12.
Menurutnya, fokus yang diberikan untuk pembangunan Sabah dan Sarawak juga menunjukkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob seorang pemimpin mengotakan kata-katanya.

Beliau amat menghargai komitmen kerajaan dalam memastikan Sabah, Sarawak dan negeri-negeri kurang membangun lain bagi menerima 50 peratus peruntukan bagi pembangunan kemudahan asas di bawah RMK-12.

“Peruntukan ini akan membolehkan Sabah berada dalam landasan yang betul untuk membangun.

“Di bawah RMK-12, kerajaan akan memberi untuk membina kem tentera baharu di Kota Belud, Felda Sahabat di Lahad Datu dan Kem Batalion Pasukan Gerakan Am di Beluran sebagai komitmen meningkatkan tahap keselamatan di Sabah,” katanya dalam satu kenyataan, di sini kelmarin.

Hajiji berkata, usaha meningkatkan kemudahan penjagaan kesihatan di Sabah dengan membina klinik kesihatan baharu di Penampang dan Beaufort serta pusat tabung darah baharu amat dihargai.

Pada masa sama, beliau berharap agar pemantauan secara teliti akan dapat diberikan bagi memastikan semua perancangan dalam RMK-12 di Sabah dapat dilaksanakan dengan lancar.

Tambahnya, kerajaan negeri percaya dengan pemantauan yang efektif, ia akan membolehkan segala pembangunan yang dirancang dapat disiapkan sepanjang tempoh pelaksanaan RMK-12.