RMK12: Peruntukan Besar Bajet Pembangunan Infrastruktur Bagi Pulih Ekonomi – Fadillah

KUALA LUMPUR: Pembangunan infrastruktur yang merupakan pemacu utama pertumbuhan ekonomi akan menerima rangsangan besar dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) 2021-2025 bagi membantu sektor itu memulihkan ekonomi, kata Menteri Kerja Raya Kanan Datuk Seri Fadillah Yusof. 

Beliau berkata memandangkan Malaysia menerapkan konsep infrastruktur yang mampan dan berkualiti, terdapat keperluan untuk membina infrastruktur pintar yang akan membawa dan mengekalkan pembangunan ekonomi yang kukuh dan pada masa yang sama melindungi sumber asli dan alam sekitar yang penting.

“Dijangkakan bahawa belanjawan RMK12 ini akan mengatasi belanjawan Rancangan Malaysia sebelum ini dengan jumlah yang lebih tinggi melebihi RM250 bilion.

“Kita memerlukan tindakan segera dan preemptive melalui kolaborasi dan perkongsian baharu untuk idea-idea yang baharu bagi mengurangkan perubahan iklim,” katanya dalam ucaptama pada webinar Sidang Kemuncak Ekonomi dan Keusahawanan Asia 2021 hari ini.

Fadillah berkata perubahan iklim telah memberi kesan kepada komuniti di seluruh dunia dengan cara yang belum pernah berlaku sebelum ini yang membawa kepada sebab-sebab untuk tidak membina infrastruktur seperti sebelum ini.

Oleh itu keseluruhan kitaran hayat pembangunan infrastruktur mesti menggalakkan penggunaan sumber kewangan yang lebih berkesan dan cekap, pertimbangan jejak karbon, persepaduan sosial dan pengawasan ekosistem semula jadi, katanya.

“Seperti yang termaktub dalam Dasar Pembinaan Negara 2030, Kementerian Kerja Raya sentiasa menggalakkan pembangunan mampan sepanjang kitaran pembinaan dengan menangani isu-isu alam sekitar seperti rancangan pembangunan, pemerolehan hijau, kaedah pengurusan pembinaan, operasi dan penyelenggaraan aset, pengubahsuaian dan perobohan struktur dan pembangunan karbon rendah,” katanya.

Dengan tema ‘Asia dalam Normal Baharu – Membina Semula Daya Tahan, Mengatasi Cabaran’ sidang kemuncak anjuran KSI Strategic Institute for Asia Pacific,  Majlis Ekonomi Lembangan Pasifik (PBEC) dan China Daily itu bertujuan untuk membincangkan trend utama, cabaran strategik dan isu-isu utama yang memberi kesan kepada perniagaan dan industri di Asia.

Sidang kemuncak itu yang turut menyentuh inisiatif pasca pandemik COVID-19, Fadillah turut menggesa kerajaan, pemain industri dan pelbagai pihak berkepentingan untuk berganding bahu dalam menerima pakai dan menginovasikan idea-idea baharu untuk membantu pemulihan sektor pembinaan di Malaysia.