RM86.71 Juta Untuk Pembangunan Belia Sabah

150

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Kerajaan negeri mengiktiraf golongan belia sebagai aset penting masa depan, justeru program-program pemerkasaan golongan berkenaan diteruskan sepanjang 2020 melalui peruntukan sebanyak RM86.71 juta.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, peruntukan kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) itu adalah untuk tujuan mengurus dan melaksanakan program-program pembangunan belia serta sukan di negeri ini.

Menurut beliau, peruntukan untuk pembangunan belia turut disediakan sebanyak RM14.1 juta tahun depan bagi memperkukuh kewibawaan belia Sabah meliputi aspek pemerkasaan kesejahteraan ekonomi belia, pemantapan nilai-nilai positif, keharmonian kepimpinan dan kemenjadian insan.

“Daripada aspek ekonomi, usaha-usaha akan dibuat untuk memperkasa dan meningkatkan penglibatan belia dalam sektor-sektor ekonomi berimpak tinggi seperti pertanian, pelancongan, digital, minyak dan gas serta kebudayaan.

“Antara lain, program yang dijalankan pada tahun depan ialah Program Keusahawanan Digital, Program Pemantapan Petani Belia, Program Negeriku Cantik, Program Pemantapan Kemahiran Industri dan Program Pembangunan Keusahawanan termasuk belia orang kurang upaya (OKU),” katanya dalam pembentangan Belanjawan Sabah 2020 hari ini.

Mohd. Shafie berkata, kerajaan akan menubuhkan Pusat Aspirasi Belia Sabah (SYAC) yang akan bekerjasama dengan belia daripada pelbagai peringkat umur untuk melaksanakan program-program secara kemas dan teratur.

Katanya, antara program yang dirangka adalah melibatkan kreativiti dan inovasi, peningkatan potensi diri, pembinaan minda kelas pertama, menangani cabaran Revolusi Industri 4.0 dan aspirasi keusahawanan belia.

Tambahnya, bagi mengangkat martabat sukan, sejumlah RM24.76 diperuntukkan untuk program dan aktiviti pembangunan sukan Sabah sepanjang 2020.

“Ini termasuk pelaksanaan program-program pembangunan seperti Sukan Untuk Semua, sukan berprestasi tinggi dan Sukan Para pada tahun yang sama.

“Selaras dengan Visi Atlet Bertaraf Dunia dan bagi menggalas sasaran pencapaian lima teras Sukan Malaysia, tumpuan akan diberi kepada pemantapan pembangunan atlet berprestasi tinggi,” katanya.