RM687,500 Kepada Masjid, Surau Di Labuan Laksana Program Ramadan

1204

LABUAN: Kerajaan menyalurkan peruntukan berjumlah RM687,500 kepada semua masjid dan surau di pulau bebas cukai ini untuk mengadakan program dan aktiviti sempena Ramadan.

Kerajaan juga membelanjakan RM150,000 bagi membantu 1,000 asnaf, anak yatim, orang tua dan ibu tunggal bersempena program tahunan Nur Ramadan di sini.

Menteri Wilayah Persekutuan Tengku Adnan Tengku Mansor berkata bantuan itu bertujuan meringankan beban kewangan anggota jawatankuasa untuk melaksanakan aktiviti serta program, termasuk di masjid dan surau sepanjang Ramadan.

“Bantuan itu juga untuk membantu meringankan beban kewangan golongan kurang bernasib baik semasa Ramadan,” katanya pada program Nur Ramadan di Kampung Patau-Patau 2 di sini malam tadi.

Tengku Adnan berkata bantuan Ramadan itu adalah hasil kerjasama kementerian diterajui beliau dengan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Yayasan Wilayah Persekutuan dan Yayasan Al Bukhary.

Kementerian itu juga, jelas beliau, sedang menimbang cadangan Anggota Parlimen Labuan Rozman Isli mengenai pembinaan sebuah masjid terapung di Kampung Patau-Patau.