RM35 Juta Bantuan Musim Tengkujuh Disediakan Tahun Ini

133

Oleh ROSANNA EDEZA
TENOM: Sejumlah RM35 juta dibawah program Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) telah disalurkan kepada Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) untuk dibayar kepada seramai 58,333 pekebun kecil di seluruh negeri Sabah.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Wong Hong Jun @ Junz Wong berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM3.4 juta dibayar kepada 5,678 orang pekebun kecil getah di daerah ini.

Katanya, BMT merupakan bantuan yang diberikan kepada pekebun kecil getah yang layak untuk meringankan beban kewangan mereka kesan daripada musim tengkujuh.

“Bantuan yang diberikan adalah sebanyak RM200 sebulan dalam tempoh tiga bulan iaitu bagi bulan November, Disember 2018 dan Januari 2019” katanya semasa berucap sempena majlis penyerahan Bantuan Musim Tengkujuh dan Penyerahan Geran Tanah Kepada Peneroka Skim Penempatan Kuala Tomani dan Lagud Sebrang di Dewan Datuk Seri Panglima Antenom di sini kelmarin.

Wong yang juga ADUN Tanjung Aru berkata, tidak dapat dinafikan, isu yang membelenggu para pekebun kecil getah pada masa ini adalah kejatuhan harga getah.

Sehubungan dengan itu katanya, kerajaan telahpun memperkenalkan Skim Insentif Pengeluaran Getah (IPG) bagi mengurangkan impak kejatuhan harga getah.

“Bantuan IPG akan dibayar kepada para pekebun kecil apabila purata harga bulanan getah di bawah paras harga lantai RM2.50 sekilo gram” jelasnya.

Dalam masa yang sama Wong berkata, bagi tahun 2019, LIGS sedang melaksanakan projek tanam baru dan tanam semula getah yang meliputi seluas 5,016 hektar yang melibatkan seramai 1,672 pekebun kecil getah.

Bagi daerah Tenom katanya, sehingga kini seluas 19,311.65 hektar getah telah ditanam melibatkan 5,417 pekebun kecil.

“Selain itu LIGS juga menjalankan aktiviti ekonomi tambahan (AET) bagi memastikan para pekebun kecil memperolehi pendapatan sampingan seperti penanaman halia, lada hitam, buah-buahan serta pemeliharaan lebah kelulut”  katanya.

Dalam aktiviti ini katanya, Kerajaan Persekutuan memperuntukkan sebanyak RM3 juta khusus melaksanakan projek-projek ini.

Beliau berkata, usaha ini terbukti telah membuahkan hasil di mana para peserta telah dibawa ke beberapa program bagi  menjual hasil halia dan madu kelulut mereka melalui jualan terus dari ladang anjuran FAMA, Karnival Usahawan Desa anjuran KPLB dan yang terbaru  Hari Peladang, Penternak Negeri Sabah.

Hadir sama Menteri Pembangunan Infrastruktur Datuk Peter Anthony, ADUN Kemabong Jamawi Jaafar, Pegawai Daerah Tenom Sungkim Rumangun, Pengurus-Pengurus Kanan LIGS, ketua-ketua jabatan dan pemimpin masyarakat.