RM26.7 Juta Dibelanja Untuk Bakul Makanan – Masidi

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah telah membelanjakan RM26.7 juta bagi agihan bakul makanan untuk 25 daerah yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, peruntukan itu adalah sebahagian daripada RM50 juta yang diumumkan kerajaan negeri sebelum ini.

Secara purata setiap daerah menerima peruntukan RM1 juta bagi pembelian barangan keperluan harian untuk diagihkan kepada mereka yang berada dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan mereka yang diperintahkan menjalani kuarantin oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS).

Selain itu, kerajaan negeri turut menerima RM50 juta daripada kerajaan persekutuan. Namun, ia tidak digunakan sekaligus kerana agihan bantuan diberikan bergantung kepada keperluan semasa mengikut tatacara kewangan yang diamalkan.

Menurutnya, selain bantuan dua golongan yang terjejas itu, kerajaan negeri juga mengagihkan bantuan kepada golongan B40 yang tersenarai dalam e-Kasih.

“Agihan bantuan ini akan diberiukan melalui kaedah lain dan bukan peruntukan khusus untuk Covid-19. Peruntukan khas ini akan disalurkan kepada semua daerah dan akan diawasi oleh pejabat daerah agar bantuan dapat disalurkan kepada mereka yang terkesan.

“Kerajaan negeri memahami kumpulan B40 ini begitu terkesan. Atas sebab itu kita sedang berusaha untuk mengagihkan bantuan kepada mereka,” katanya semasa sidang media secara atas talian mengenai perkembangan Covid-19 negeri Sabah, di sini hari ini.

Masidi berkata, sehingga kini sebanyak 77, 396 bakul makanan telah diagihkan kepada penduduk di kawasan PKPD dan mereka yang diperintahkan menjalani kuarantin.

Ditanya jika Sabah akan turut mengumumkan Pakej Bantuan Khas Covid-19 seperti yang diumumkan di Sarawak, beliau berkata, bantuan sebegitu akan dinilai dari masa ke semasa.

“Bantuan RM50 juta ini juga belum dibelanjakan sepenuhnya dan kita masih ada peruntukan RM50 juta daripadda kerajaan persekutuan.

“Bagaimanapun, persoalan sebegini akan terus diberi perhatian dan kita akan bantu seberapa banyak yang kita mampu. Ini sentiasa dipertimbangkan dari masa ke semasa mengikut tuntutan keadaan,” ujarnya.

Beliau turut mengumumkan sumbangan yang diberikan beberapa syarikat dalam membantu Sabah berdepan dengan pandemik Covid-19.

Katanya, Yayasan Petronas telah menyumbang peralatan perlindungan peribadi (PPE) dan peralatan perubatan bernilai RM2.5 juta untuk hospital-hospital kerajaan di Sabah.

Selain itu, syarikat Pegagau Aquaculture Sdn Bhd turut menyumbangkan RM100,000 kepada Tabung Bencana Negeri Sabah.