RM17.6 Juta Pembayaran Dikeluarkan, 2,388 MPKK Telah Dilantik

81
EWON BENEDICK

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) mengesahkan sebanyak RM17,666,600 waran pembayaran telah diluluskan setakat September tahun ini untuk membayar elaun kesemua anggota Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di seluruh negeri.

Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata, waran tersebut telah disalurkan kepada 22 pejabat daerah, lapan pejabat daerah kecil,Majlis Perbandaran Sandakan, Majlis Perbandaran tawau serya Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).

“Waran pembayaran elaun ini disalurkan kepada pejabat-pejabat di daerah tersebut bermula pada bulan April 2019, iaitu selepas KPLB menerima peruntukan pembayaran elaun MPKK bagi enam bulan pertama daripada Kerajaan Persekutuan pada bulan Mac 2019.

“KPLB Sabah kini sedang menunggu penurunan peruntukan pembayaran elaun bagi enam bulan kedua daripada Kerajaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kelmarin, Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Hashim Paijan menafikan kenyataan Presiden Kebudayaan Rumpun Dayak Sabah, Cleftus Mojingol yang menuduh kerajaan negeri masih belum melantik pemimpin akar umbi serta tidak membayar gaji mereka.

Mojingol sebelum itu dalam kenyataannya mendakwa sejak memerintah kesemua pemimpin akar umbi itu masih belum dilantik, malah masih terdapat banyak kekosongan jawatan itu.

Ewon berkata, pelantikan pemimpin di peringkat akar umbi itu telah menjadi keutamaan beliau setiap kali mempengerusikan mesyuarat pasca Kabinet KPLB.

Katanya, watikah pelantikan itu telah dikeluarkan sejak januari 2019 lagi, namun memerlukan proses tapisan serta ada beberapa kes individu yang dilantik telah melebih had umur, justeru borang pelantikan telah dikembalikan.

“Sebagai makluman, setakat 10 September 2019, KPLB Sabah telah pun mengeluarkan watikah pelantikan MPKK kepada 2,388 buah kampung, iaitu 83.7 peratus daripada keseluruhan kuota MPKK di seluruh Sabah. Watikah perlantikan ini dikeluarkan seawal bulan Januari 2019.

“Proses perlantikan ini mengambil masa kerana jumlah keanggotaan MPKK adalah sebanyak 13 orang, berbanding enam orang anggota Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) sebelum dijenamakan menjadi MPKK sebelum ini.

“Justeru, proses tapisan berasaskan kesemua syarat pelantikan tersebut perlu dibuat kepada kesemua 13 anggota yang dikemukakan kepada pejabat daerah dan seterusnya KPLB Sabah, watikah pelantikan yang dikeluarkan merangkumi kesemua 13 orang anggota, bukan pengerusi dan setiausaha sahaja,” katanya.

BERITA BERKAITAN : –

Lantikan Ketua Kampung, Ketua Adat Akan Selesai Oktober Ini – Aidi

Kenyataan Cleftus Satu Pembohongan, Hanya Rekaan Imaginasi