RM10,000 Ditawarkan Kepada Pemberi Maklumat Pembunuh Gajah

Beberapa butir peluru yang ditemukan di dalam badan gajah Pygmy Borneo yang maut dibunuh pemburu haram.

KOTA KINABALU: Jabatan Hidupan Liar menawarkan ganjaran wang tunai sebanyak RM10,000 kepada mana-mana individu yang memberikan maklumat sehingga tertangkapnya dalang yang membunuh sekor gajah Pygmy Borneo tanpa perikemanusiaan di Kalabakan, Tawau Rabu lalu.

Pengarahnya, Augustine Tuuga berkata, maklumat tersebut diperlukan pihaknya bagi menghukum dalang berkenaan yang dipercayai golongan pemburu haram.

AUGUSTINE TUUGA

“Kita akan teruskan siasat, kita perlu sesiapa yang mungkin mempunyai maklumat mengenai pembunuhan ini untuk tampil memberi maklumat, kita tawarkan RM10,000 seperti pada masa yang lalu,” katanya ketika ditemui di pejabatnya hari ini.

Pada 25 September lalu, sekumpulan pemancing menemukan bangkai gajah berkenaan dalam keadaan terduduk ditebing Sungai Udin, Kalabakan sebelum menyebarkan gambar haiwan berkenaan di media sosial.

Berikutan itu, pegawai Jabatan Hidupan Liar yang melakukan siasatan keesokannya mendapati gading gajah tersebut telah dipotong oleh pemburu haram.

Gajah jantan yang berusia antara 20 hingga 30 tahun itu dipercayai ditembak menggunakan senapang patah.

Keadaan gajah Pygmy Borneo yang maut akibat ditembak sebanyak 70 kali oleh pemburu haram.

Augustine berkata, bedah siasat mendapati punca kematian adalah selepas sebutir menembusi tengkorak haiwan itu sehingga ke otak.

“Berdasarkan bedah siasat dijalankan oleh pegawai veterinar kita terdapat kesan lebih 70 kesan tembakan pada badan kiri dan kanan gajah tersebut, itulah kemungkinan gajah tersebut terseksa kesakitan sebelum salah satu butir peluru terkena di kepala gajah itu,” katanya.

Menurut beliau, pihaknya telah menemubual penduduk di kawasan berhampiran penemuan bangkai tersebut, namun mereka tidak mendengar sebarang bunyi tembakan dilepaskan, justeru maklumat diperlukan untuk menangkap pemburu haram itu.

Kakitangan Jabatan Hidupan Liar memeriksa bangkai gajah Pygmy Borneo.

Beliau berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 25/28 Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997 yang memperuntukkan hukuman penjara mandatori.

“Kalau membunuh dia punya hukuman tiada denda melainkan penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih lima tahun dan jika pemburu didapati memiliki gading yang dipotong boleh didenda tidak kurang RM50,000 serta penjara tidak kurang setahun atau tidak lebih lima tahun.” katanya.

Gading gajah tersebut yang telah dipotong oleh pemburu haram.

Sementara itu, Augustine berkata, sejak 2010 lebih 100 kematian gajah Pygmy Borneo direkodkan daripada pelbagai punca antaranya ditembak, keracunan makanan serta penyakit.

Tambahnya, kajian terakhir pada 10 tahun lalu mendapati jumlah haiwan tersebut di negeri ini adalah kira-kira 2,000 ekor, namun bilangan terkini yang tinggal masih belum diketahui.