RM1 Juta Baiki Beberapa Jalan Sandakan Lulus

Oleh TERTIA JACOB
SANDAKAN: Kementerian Kewangan meluluskan peruntukan RM1 juta untuk menaik taraf beberapa simpang jalan raya di daerah ini.

Jumlah itu membabitkan RM550,000 untuk menaik taraf simpang Jalan Sibuga dan Jalan Utara berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) St Monica, manakala RM450,000 lagi untuk beberapa laluan masuk dan keluar di Bandar Prima, Letat dan Indah.

Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong berkata, projek berkenaan dijangka bermula tahun ini dengan kerja menaik taraf simpang Jalan Sibuga dikendalikan Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Projek ini meliputi kerja melebarkan bulatan trafik di hadapan persimpangan SK St Monica, pemasangan lampu isyarat dan penyediaan empat lorong,” katanya.

Beliau menyatakan perkara itu selepas melakukan pemeriksaan tapak bersama Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Pembangunan Negeri (SDO), Datuk Ruji Ubi.

Menjelaskan lebih lanjut, Vivian berkata, pemaju perumahan IJM juga akan bekerjasama dengan kerajaan dan menyumbang dalam projek pembinaan lencongan jalan, sekali gus mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan terbabit khususnya pada waktu puncak.

Selain itu, katanya, kerajaan juga akan melihat beberapa rancangan untuk membina jalan baharu di beberapa kawasan perniagaan utama seperti Prima Square, Bandar Indah dan Letat.

“Pihak berkuasa akan membuat penyelidikan untuk melihat keperluan menambah laluan masuk dan keluar yang baharu di Prima Square, Bandar Indah dan Letat dalam masa terdekat.

“Ini termasuk untuk membincangkan sama ada ia dapat menangani kesesakan trafik antara kawasan komersial ini dan memberi manfaat kepada perniagaan dan penduduk setempat,” katanya.