Risda Sarawak Salur Bantuan Lebih RM51 Juta Kepada Pekebun Kecil Getah

KUCHING: Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) Sarawak memperuntukkan RM51.02 juta untuk disalurkan kepada 114,171 pekebun kecil getah negeri itu.

Menteri Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata peruntukan tersebut melibatkan program Kawasan Bertanam Getah, Aktiviti Ekonomi Tambahan, Pembangunan Produktiviti dan Agromakanan.

“Program Tanam Semula Getah dilihat mendapat sambutan daripada pekebun kecil setelah bantuan tersebut ditingkatkan kepada RM14,805 sehektar berbanding tahun sebelumnya iaitu RM13,500 sehektar.

“Seluas 1,301 hektar telah berjaya ditanam semula yang memberi manfaat kepada seramai 1,504 pekebun kecil di negeri ini,” katanya semasa berucap pada Majlis Penyampaian Bantuan Risda di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar II Datuk Hasbi Habibollah.

Menurut Mahdzir bagi keperluan prasarana pertanian pula, kementeriannya melalui RISDA telah menyediakan 75.1 kilometer jalan pertanian, 67 unit pembentung, 3.2 km sistem parit dan dua jambatan untuk kemudahan operasi perladangan.

Katanya kesemua bantuan Kawasan Bertanam Getah itu melibatkan peruntukan berjumlah lebih RM19 juta.

“Bantuan peningkatan produktiviti getah pula membabitkan kawasan seluas 513.59 hektar dengan peruntukan sebanyak RM300,000 ribu,” katanya.

Pada majlis sama, KPLB turut menyampaikan Bantuan Bakul Prihatin kepada 100 penerima terdiri daripada pekebun kecil.