Risau Tanah Diambil Kerajaan, Penduduk Sembulan Suarakan Masalah Pemilikan Tanah

2666
Sebahagian penduduk kawasan Sembulan yang hadir dalam sesi dialog bersama Ahli Parlimen Putatan, di Dewan Masyarakat Sembulan, di sini pada Sabtu

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Khuatir tanah yang diduduki sejak 20 tahun lalu diambil semula oleh kerajaan, lebih 3,000 penduduk kampung di Sembulan tampil menyuarakan kebimbangan mereka.

Penduduk dari empat kampung di Sembulan itu menyampaikan hasrat dan permintaan mereka kepada Ahli Parlimen Putatan Awang Husaini Sahari dalam satu Sesi Dialog, di Dewan Masyarakat Sembulan, di sini pada Sabtu.

Penduduk dari Kampung (Kg) Sembulan Lama, Kg Sembulan Tengah, Kg Sembulan Baru dan Taman Sempelang itu melahirkan rasa bersyukur kerana Ahli Parlimen mewakili mereka sudi mendengar luahan dan keperluan penduduk di situ.

Isu yang berlanjutan sejak 20 tahun lalu itu terus membebani penduduk di situ tanpa ada penyelesaian tuntas mengenai pemilikan tanah di empat perkampungan berkenaan.

Awang Husaini berkata, setelah mendengar suara dan rintihan penduduk di kawasan sembulan itu, beliau akan cuba meneliti dan memperhalusi masalah yang disampaikan melalui sesi dialog dan memorandum yang diberikan kepadanya.

Beliau memberi jaminan dalam tempoh 30 hari, masalah penduduk Sembulan itu sudah sampai kepada pengetahuan pihak berkepentingan termasuk Kabinet Negeri dan kementerian berkaitan.

Katanya, isu utama penduduk di situ adalah mengenai pembaharuan sewa tanah (land lease).

Penaung Badan Bertindak Kg Sembulan Datuk Rosimah Zakaria (tiga kanan) menyampaikan memorandum berkaitan masalah penduduk Sembulan kepada Awang Husaini (empat kanan), sambil disaksikan oleh ahli jawatankuasa Badan Bertindak yang lain

Terdapat kira-kira 30 peratus atau lebih 900 orang penduduk Sembulan tidak dapat perbaharui sewa tanah mereka disebabkan perjanjian terdahulu yang sudah tamat tempoh.

Manakala, sewa tanah lebih 900 orang penduduk akan tamat dalam tempoh lima tahun lagi. Sewa tanah hampir 1,200 orang penduduk pula akan tamat dalam 10 tahun dan ke atas.

Melihat tempoh sewa tanah yang berbeza-beza itu, Awang Husaini berharap akan ada satu keseragaman dari segi pembaharuan sewa tanah untuk penduduk di Sembulan.

Selain itu, penduduk turut menyuarakan tentang cukai tanah atau cukai pintu yang perlu dikurangkan agar ianya tidak membebankan penduduk di perkampungan berkenaan.

Beliau memberi jaminan kedua-dua perkara itu akan dimaklumkan kepada pihak berkepentingan agar tindakan selanjutnya boleh diambil.

Ditanya tentang persoalan penduduk Kg Sembulan Lama mengenai sebahagian tanah yang diduduki mereka sejak bertahun lamanya yang kini diambil-alih oleh syarikat swasta, beliau akan meminta penjelasan Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) tentang perkara itu.

”Kita akan selidik maklumat yang diberikan itu. Saya akan berhubung dengan JTU untuk mendapatkan penjelasan tentang kesahihan maklumat berkenaan,” jelasnya.

Berdasarkan maklumat wakil penduduk tadi, daripada 3.5 ekar tanah yang diduduki sejak bertahun lamanya, kini hanya 2.5 ekar sahaja lagi yang boleh dijadikan penempatan. Seekar lagi tidak didakwa telah diambil oleh pihak swasta.

Awang Husaini berkata, tanah seluas 3.5 ekar di Kg Sembulan Lama itu adalah tanah kerajaan yang diduduki penduduk selama bertahun-tahun lamanya.

Untuk itu, perkara berkenaan akan dibawa kepada perhatian Kabinet Negeri bagi membuat ketetapan dan memutuskan tindakan selanjutnya.