Rindu Raikan Aidilfitri Bersama Ibu, Ayah

PUTATAN: Setahun selepas pemergian ibu bapanya, Nursazzey Shazmeka Mazlan, 16, kelihatan kuat untuk memikul tanggungjawab membesarkan tiga adiknya dengan bantuan nenek.

Namun, air mata seorang kakak tetap mengalir apabila berkongsi kerinduan meraikan Hari Raya Aidilfitri bersama ibu bapanya yang maut akibat kemalangan di Jalan Kimanis-Keningau pada 31 Mac tahun lalu. Kemalangan itu turut meragut nyawa seorang adiknya.

Jika tahun lalu, mereka langsung tidak meraikan Aidilfitri kerana arwah ibu bapa dan adiknya baharu sahaja meninggal dunia.

“Ini adalah kali kedua kami raikan Aidilfitri tanpa mummy, daddy dan adik Zila. Kegembiraan menyambut Aidilfitri tidak akan sama semasa arwah kedua ibu bapa kai masih ada,” katanya ketika ditemui di kediaman mereka di Taman PPR Keramat.

Kakak sulung daripada lima beradik ini perlu kelihatan kuat dihadapan adik-adik kerana tugas menjawa adik-adik terletak pada bahunya.

Dahulu semasa arwah ibunya masih ada, tugas membeli baju sempena Aidilfitri menjadi tugas dia bersama ibu.

Keseronokan memilih dan membeli baju adik-adik bersama ibu akan menjadi kenangan yang tidak akan pernah dilupan olehnya.

Nursazzey yang mesra dengan panggilan kakak ini terasa beban yang dipikul agak berat namun, dia tetap kuatkan semangat.

“Memang rasa susah tapi tidakkan suruh nenek buat semua, kakak mesti juga kuat sebab mummy dan daddy kasi tinggal kakak untuk jaga adik-adik.

“Kakak sangat rindukan mummy dan dadddy. Sekarang tiada lagi acara bersalaman dan bermaaf-maafan pada pagi raya bersama mummy dan daddy ,” ujarnya.

Menurutnya, sebelum ini setiap kali menjelang Aidilfitri, kesibukan pada malam raya untuk menghias rumah dan bermain bunga api bersama ayahnya antara perkara yang dinanti-nanti.

Tapi, tahun ini, suasana sebegitu tidak mampu diulang semula setelah kedua ibu bapanya meninggalkan mereka empat beradik buat selamanya.

Tambahnya, setiap kali rindu dengan kedua ibu bapanya, dia pasti akan menziarahi kuburan mereka di Tanah Perkuburan Islam Kampung Ulu Putatan bagi melepaskan kerinduan.

“Bila kakak ziarah kuburan, kakak akan cakap ‘harap mummy sama daddy baik-baik sahaja di sana dengan adik. Sentiasa doakan kami, kalau boleh doakan kakak di sini dan kakak juga akan sentiasa mendoakan mummy dan daddy di sana,” katanya.

Sementara itu, adiknya Muhammad Irfan Ihtisyam, 11, berkata, Aidilfitri tahun ini tidak akan seceria sebelumnya. Kesayuan meraikan Aidilfitri tanpa kedua ibu bapanya tidak akan boleh digambarkan.

“Irfan pasti akan teringat rendang dan kelupis yang mummy buat semasa sambutan Aidilfitri. Sekarang nenek yang akan menyediakan menu hari raya untuk mereka empat beradik.

“Nasib baik nenek ada untuk menjaga kami. Jadi, rumah tidaklah rasa sunyi tanpa kehadiran orang tua,” katanya.

Berkongsi perkara yang dirindui semasa Aidilfitri, Irfan berkata, dia rindu untuk memasang lampu hiasan pada malam raya malah, dia juga rindu pergi ke masjid bersama ayahnya untuk solat sunat Aidilfitri.