Ribut: Dua Masjid, 13 Rumah Rosak Teruk Di Putatan

Uda Sulai melihat bumbung sebuah rumah yang diterbangkan angin kencang di Petagas.

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Sebanyak 13 buah rumah di Kampung Petagas rosak teruk termasuk ada bumbung yang diterbangkan angin dan dinding tercabut akibat dipukul ribut dalam kejadian malam tadi.

Angin kencang yang melanda Kota Kinabalu dan kawasan sekitarnya bermula pukul 11 malam tadi hingga 1 pagi ini turut menyebabkan dua buah masjid iaitu Masjid Nur Al-Jannah di Kampung Petagas dan masjid Al-Mahabbah di Kampung Muhibbah, Putatan rosak teruk.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Petagas) merangkap Pembantu Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri, Datuk Uda Sulai yang melawat kawasan kejadian di Putatan berkata, satu laporan penuh akan dikeluarkan pihaknya untuk memastikan setiap mangsa menerima bantuan daripada kerajaan.

Masjid Al-Mahabbah di Kampung Muhibbah, Petagas tidak dapat digunakan selepas bumbungnya diterbangkan angin malam tadi.

Beliau yang disertai pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat meluangkan masa hampir dua jam selepas solat Jumaat tengah hari tadi untuk mengambil maklumat setiap mangsa dan memberikan sokongan kepada mereka.

“Angin kencang yang melanda daerah ini bermula pukul 11 tengah malam, jadi banyak kerosakan yang terlibat dan pihak saya telah melawat kesemua mangsa termasuk masjid bersama pegawai berkenaan dan pihak saya sedang membuat laporan terperinci untuk menyediakan bantuan-bantuan yang perlu diberikan kerajaan kepada mangsa seperti membaiki semula rumah-rumah yang rosak, insya Allah kerajaan prihatin mengenai perkara ini, satu bencana alam yang tidak dapat kita ramal.

“Saya berharap semua mangsa yang terjejas dalam bencana ini supaya bersabar dan reda menerima keadaan yang sebenarnya kerana ini kehendak ditentukan Allah SWT kita tidak dapat buat apa-apa jadi dengan ini pihak saya selaku wakil rakyat banyak terima kasih kepada semua penduduk yang bekerjasama membantu mangsa-mangsa dan begitu juga masjid-masjid yang membantu dalam beberapa hal untuk meringankan beban mangsa-mangsa yang terlibat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas lawatan itu.

Sebahagian khemah di pusat riang ria (funfair) Putatan tumbang.

Uda berkata, Jawatankuasa Bencana Alam Daerah Putatan akan diaktifkan pada bila-bila masa jika bencana alam yang berlaku berlarutan sehingga menjejaskan lebih banyak mangsa dan menyebabkan kerosakan teruk.

Bagaimanapun katanya, ketika ini, tiada mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan kerana kebanyakkannya menumpang di rumah ahli keluarga lain dan turut berusaha membaiki kerosakan di kediaman masing-masing.

Sementara itu, menurut laporan daripada Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) bebrapa infrastruktur awam, bangunan, dan pusat beli-belah di sekitar Kota Kinabalu turut mengalami kerosakan akibat dipukul ribut.

Pokok yang tumbang berhampiran jejambat Kepayan akibat angin kencang.

DBKK berkata, kejadian pokok tumbang dan ranting patah turut berlaku di beberapa jalan utama menyebabkan kesesakan teruk, bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Dalam pada itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah ketika dihubungi berkata, pihaknya bersedia menghulur bantuan pada bila-bila masa, namun setakat ini belum ada panggilan kecemasan yang diterima.