Ribuan Pengunjung Hadiri Rumah Terbuka Ketua Menteri Sabah

259

KOTA KINABALU: Ribuan rakyat pelbagai kaum dan agama menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal bersama isteri, Datin Seri Shuryani Shuaib, di kediaman mereka di Likas, dekat sini hari ini (Jumaat).

Majlis rumah terbuka yang berlangsung dari pukul 9.00 pagi hingga 9.00 malam itu dimeriahkan lagi dengan kehadiran Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dan isteri Toh Puan Norlidah RM Jasni.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri, Datuk Madius Tangau, Datuk Christina Liew dan Datuk Jaujan Sambakong serta menteri-menteri kabinet negeri.

Pelbagai juadah enak termasuk sate, ketupat, lemang dan rendang dihidangkan kepada tetamu yang hadir.

Selain menikmati hidangan, tetamu juga dihiburkan dengan persembahan nyanyian daripada artis tempatan negeri ini.

Pada majlis itu, Tun Juhar turut membuat persembahan bermain gitar sambil mendendangkan beberapa lagu sambil diiringi oleh Mohd Shafie.

Ahad ini orang ramai turut dijemput hadir pada majlis rumah terbuka Aidilfitri dihoskan Ketua Menteri bersama jemaah Kabinet Negeri yang akan diadakan di perkarangan Menara Tun Mustapha (Yayasan Sabah), Likas.

Pada Kahmis, lebih 5,000 tetamu pelbagai kaum menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahirudin dan isteri, Toh Puan Norlidah R M Jasni di Istana Negeri.

Majlis rumah terbuka bermula jam 11 pagi hingga 1 tengah hari itu menghidangkan pelbagai juadah menarik, termasuk sate, ketupat, lemang dan rendang.

Selain menikmati hidangan, tetamu juga dihiburkan dengan persembahan nyanyian daripada artis tempatan negeri ini.

Pada majlis itu, Tun Juhar dan isteri turut meluangkan masa bersalaman dengan tetamu, selain memotong kek Aidilfitri bermotifkan kereta api, sebelum diagihkan kepada tetamu.

Turut hadir, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, bersama isteri, Datin Seri Shuryani Shuaib.

Tetamu kenamaan lain ialah Timbalan Ketua Menteri, Datuk Madius Tangau, Datuk Christina Liew dan Datuk Jaujan Sambakong serta menteri-menteri kabinet negeri.