Ribuan Orang Hadiri Rumah Terbuka Aidilfitri Kerajaan Kabinet Sabah

78

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal yakin usaha membangunkan Sabah dapat diteruskan dengan kesepaduan yang ditunjukkan melalui kehadiran ribuan rakyat dalam Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Jemaah Menteri dan Kerajaan Negeri Sabah, di sini pada Ahad.

Beliau berkata, kehadiran orang ramai dalam majlis sebegitu satu petanda cukup baik yang memperlihatkan satu ikatan persaudaraaan antara masyarakat pelbagai kaum yang hadir dalam majlis berkenaan.

”Kehadiran masyarakat dari pelbagai anutan agama ini membolehkan semangat toleransi dan kerjasama antara kaum dapat dipupuk.

”Jika kita dapat meraikan perayaan dengan suasana yang bersatu padu sebegini, saya yakin kita boleh bersama-sama membangunkan negeri Sabah,” katanya ketika ditemui semasa majlis berkenaan, di Menara Tun Mustapha, di sini pada Ahad.

“Kalau kita bersemangat membangunkan Sabah dan rakyat sama-sama bangkit dan bersatu dalam perayaan dan pembangunan, saya yakin Sabah akan membangun pada masa mendatang.”

Dalam sambutan rumah terbuka itu, kira-kira 10,000 orang hadir memeriahkan sambutan majlis sempena Hari Raya Aidilfitri berkenaan.

Mohd Shafie, yang juga Menteri Kewangan Negeri turut menyampaikan sumbangan kepada 100 penerima Orang Kelainan Upaya (OKU) serta sumbangan duit raya kepada kanak-kanak yang hadir dalam majlis tersebut.

Bagi persiapan menghadapi musim banjir pula, beliau mahu kerajaan memberi fokus kepada projek tebatan banjir dalam menangani masalah air pasang yang menjadi punca kepada kejadian banjir.

Katanya, penyelesaian jangka panjang perlu diambil. Tidak cukup sekadar melakukan pembersihan parit dan longkang kerana punca kepada permasalahan banjir adalah air pasang di lautan.

”Di kawasan Likas sudah melaksanakan projek tebatan banjir dan sekarang masalah banjir di situ sudah diatasi. Peruntukan diperlukan hanya RM5 juta.

”Sekiranya peruntukan pembersihan parit dan longkang digunakan untuk projek tebatan banjir untuk halang air pasang dari laut, itu akan membantu mengatasi masalah banjir yang kita hadapi sekarang,” ujarnya.

Menurutnya, beliau juga akan mengadakan perjumpaan dengan Setiausaha Kerajaan Negeri selaku Pengerusi Bencana Alam Negeri bagi mengarahkan beliau supaya mengerakkan semua agensi kerajaan negeri dan persekutuan serta sukarelawan untuk menghadapi musim banjir ini.