Restoran Terapung Popular Di Labuan Musnah Dilanda Ombak Gadang

LABUAN: Fenomena luar biasa kejadian ombak gadang yang melanda kampung yang terletak di persisir pantai di sini, mengakibatkan bangunan restoran makanan laut terapung popular, Anjung Ketam Nagalang musnah, pada Selasa lepas.

Pemiliknya, Ali Buah, 62, berkata dalam kejadian pada 8 malam itu, ombak setinggi tiga meter menghempas struktur kayu dan laluan kayu restoran berkenaan yang menyebabkan beliau kerugian kira-kira RM100,000.

“Kejadian pada malam itu berlaku dalam sekelip mata.

Kami tidak pernah alami ombak gadang seperti ini.

“Kami hanya mampu melihat dan tidak mampu berbuat apa-apa ketika ombak melanda dan memusnahkan struktur tambahan restoran yang kami bina serta memusnah laluan kayu,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di tempat kejadian hari ini.

Ali berkata, restoran yang terletak kira-kira 12km dari pusat bandar itu, terpaksa ditutup sementara untuk kerja-kerja kerosakan yang berlaku.

Pengarah Jabatan Penilaian, Pelaburan dan Pengurusan Aset Labuan Gilbert Chin berkata, kerja pembaikan laluan pejalan kaki itu juga akan dilakukan segera melibatkan peruntukan kira-kira RM50, 000.

Sementara itu, ribuan penduduk di Kampung Bebuloh Laut, Kampung Patau-Patau 1 dan 2 berasa cemas kerana ombak tinggi dan kuat itu mengancam keselamatan dan kediaman mereka.

Akibat kejadian itu, lebih 30 jambatan konkrit dan kayu di kampung berkenaan telah ditenggelamkan.