Restoran Hidang Daging Eksotik Di Telupid Diserbu Jabatan Hidupan Liar

Anggota Penguatkuasa Jabatan Hidupan Liar Sandakan menimbang berat daging haiwan dilindungi yang dirampas di sebuah restoran di Kampung Wonod, Telupid. – Foto Ihsan Jabatan Hidupan Liar Sandakan

TELUPID: Daging musang dan kucing hutan antara makanan eksotik daripada haiwan dilindungi yang dirampas Jabatan Hidupan Liar di sebuah restoran di Kampung Wonod, di sini, pada Isnin.

Rampasan membabitkan 27.6 kilogram (kg) daging haiwan dilindungi itu dilakukan enam anggota Jabatan Hidupan Liar Sandakan susulan pemeriksaan terhadap restoran berkenaan, jam 1.45 tengah hari.

Pegawai Hidupan Liar Sandakan, Hussien Muin, berkata rampasan membabitkan 5.4 kg daging rusa, 2.2 kg tulang rusa, 1.2 kg daging kucing hutan, 2.4 kg daging musang, 2 kg daging babi hutan, 10.2 kg bangkai labi-labi serta 6.6 kg daging labi-labi.

“Susulan rampasan itu, kita menahan seorang wanita berusia 57 tahun yang juga pemilik restoran bagi membantu siasatan dan laporan polis mengenainya juga sudah dibuat.

“Wanita itu bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis,” katanya menerusi kenyataan di sini, hari Selasa.

Hussien berkata, semua hasil rampasan dibawa ke stor penguatkuasa Jabatan Hidupan Liar Sandakan di Sepilok untuk tindakan lanjut.

Beliau juga mengingatkan orang ramai sentiasa memberi kerjasama agar melaporkan kepada pihaknya sekiranya mendapati ada restoran menjual daging haiwan dilindungi. – Juzaimie Jazlan/ bharian.com.my

BERITA SELANJUT: –

https://www.bharian.com.my/berita/kes/2017/11/353387/restoran-hidang-daging-eksotik