Resort ‘Uncle Chang’s’ Di Mabul Hangus

Oleh ARDYHANSAH AMAT
SEMPORNA: Pusat penginapan terkenal, Uncle Chang’s Sipadan Mabul Dive Logde musnah dalam kebakaran di Pulau Mabul, di sini, semalam.

Kebakaran pada pukul 5.30 petang itu memusnahkan lapan bilik penginapan jenis ‘dome’, sepuluh rumah kakitangan, kedai, restoran dan beberapa bahagian lain, dianggarkan mencecah nilai ratusan ribu ringgit.

Menurut sumber, kebakaran itu juga menyebabkan sebuah rumah penduduk kampung yang terletak berhampiran musnah sepenuhnya.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 5.40 petang semalam.

“Sepasukan bomba dengan kekuatan 11 anggota dari Balai Bomba Atas Air Semporna bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima aduan.

“Bagaimanapun, pasukan berkenaan tidak dapat meneruskan perjalanan dan terpaksa berpatah balik memandangkan angin bertiup kuat dan laut bergelora,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Tambahnya, JBPM Sabah turut menghubungi  Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM) bagi mendapatkan bantuan aset membawa anggota bomba ke lokasi kejadian.

“Bagaimanapun, masalah yang sama dihadapi iaitu cuaca buruk menyebabkan aset pasukan keselamatan berkenaan tidak dapat digerakkan.

“Kerja pemadaman dilakukan oleh kakitangan pusat peranginan tersebut menggunakan pam air, baldi dan alat pemadaman api sebelum kaedah ‘fire break’ dengan memutuskan jambatan kayu untuk mengelakkan api dari terus merebak,” katanya.

Menurut JBPM Sabah, siasatan awal mendapati kebakaran bermula dari sebuah bilik kakitangan yang tidak digunakan sebelum merebak ke kawasan lain.

“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan kami masih menyiasat punca kejadian serta jumlah kerugian yang ditanggung mangsa,” katanya.