Republik Slovakia Intai Peluang Kerjasama Dengan Sabah Dalam Pelancongan & Perniagaan

Miroslav Lajcak Bersalaman dengan Shafie ketika kunjungan tersebut.

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Pembangunan yang begitu dinamik di Sabah dilihat berpotensi untuk membuka ruang kerjasama dalam sektor pelancongan dan perniagaan antara Sabah dan Republik Slovakia.

Menteri Hal Ehwal Luar Slovakia, Miroslav Lajcak berkata, memandangkan peniaga di Slovakia berhasrat meneroka pasaran baharu, Sabah dan Malaysia antara wilayah yang berpotensi untuk diterokai.

”Kami melihat ada potensi terutama dalam sektor pelancongan di sini dan saya telah mempelawa Ketua Menteri Sabah untuk berkunjung ke Slovakia bertemu dengan peniaga dan penggiat industri pelancongan di sana.

“Saya melihat terdapat banyak potensi untuk usahawan Slovakia datang ke Sabah. Jika dilihat Sabah membangun dengan sangat dinamik dan banyak pembinaan sedang dilakukan.

“Sebagai negara yang berada pada jantung Kesatuan Eropah, pasaran kami lebih tertumpu kepada pasaran Eropah.

“Namun, kami sedang melihat kepada kepelbagaian dan kami tahu Malaysia sedang membangun dengan sangat positif dan dinamik.

“Atas sebab itu, kami membuka pintu untuk menjalin kerjasama dengan Sabah dan Malaysia pada masa hadapan melalui pertemuan antara usahawan dengan usahawan,” katanya selepas Kunjungan Hormat kepada Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal, di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS), di sini hari ini.

Menurutnya, sektor minyak dan gas serta kelapa sawit antara sektor yang berpotensi untuk diterokai di Sabah.

Untuk itu, beliau berharap dapat mempertemukan usahawan (Slovakia) dengan usahawan (Sabah) bagi mengenal pasti sektor yang boleh diterokai bersama.

Dengan itu, barulah agensi yang mempromosikan perniagaan dan pelaburan dapat menarik usahawan Slovakia datang ke Sabah. Begitu juga sebaliknya, untuk membawa usahawan Sabah ke Slovakia.

Miroslav berkata, Slovakia antara negara yang maju dalam perindustrian dan industri pembuatan kereta adalah tulang belakang kepada ekonomi mereka.

Oleh itu, potensi untuk mengembangkan industri pembuatan kereta ke Malaysia itu amat besar.